Skip to main content

Dunia

Malaysia-SG perkasa diplomasi kesihatan, fokus tangani NCD & pelancongan perubatan

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia-SG perkasa diplomasi kesihatan, fokus tangani NCD & pelancongan perubatan

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 20 May 2026 12:01PM Dikemas Kini : 20 May 2026 12:05PM
KUALA LUMPUR: Hubungan strategik kesihatan antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh dalam usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), menyelaraskan dasar pelabelan makanan (Nutri-Grade) dan potensi memperluaskan pelancongan perubatan.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dilaksanakan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa pertemuan bersama rakan sejawatannya Ong Ye Kung, yang mencerminkan kepercayaan dan komitmen tinggi kedua-dua pihak demi kesejahteraan rakyat masing-masing.

Beliau berkata antara agenda yang diperhalusi dalam pertemuan itu ialah penyelarasan dasar Nutri-Grade sebagai langkah proaktif dan bersepadu memerangi NCD di rantau ini.

“Kesepakatan ini mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Dr Dzulkefly berkata Malaysia turut menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang dijangka mempercepatkan akses teknologi perubatan berkualiti tinggi serta inovatif ke dalam pasaran serantau.

Beliau berkata kedua-dua negara turut meneroka potensi memperluaskan pelancongan kesihatan rentas sempadan termasuk memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke kemudahan kesihatan swasta di Johor selain memperluaskan perlindungan insurans MediSave.

Langkah berkenaan, katanya bukan sahaja memperkukuh akses rawatan kesihatan, malah dijangka merangsang limpahan ekonomi serta memperluaskan kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan Malaysia.

Dr Dzulkefly berkata dalam mendepani cabaran kesihatan awam semakin kompleks, kerjasama Malaysia-Singapura menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan berteraskan kemanusiaan.

“Malaysia kekal komited mendukung diplomasi kesihatan dan kerjasama serantau yang berpaksi pada sikap saling hormat serta kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu, dalam catatan berasingan, Dr Dzulkefly berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kesihatan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai lambang kecanggihan teknologi, sebaliknya mesti dibina berteraskan kepercayaan awam serta tadbir urus kerajaan yang kukuh.

Menurut Dr Dzulkefly, perkara itu dibangkitkan ketika beliau menyertai sesi perbincangan peringkat tinggi mengenai masa depan AI anjuran Pemerintah Portugal di Geneva.

Beliau berkata kepercayaan rakyat hanya dapat dipertahankan sekiranya penggunaan AI dilaksanakan secara selamat, beretika, adil dan berpusatkan rakyat.  

“Ini bermakna pengurusan data yang selamat dan sistem kesihatan digital yang saling berhubung adalah amat kritikal, selain maklumat pesakit mesti dilindungi dan sistem tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata Malaysia kini mula membuktikan keberkesanan penggunaan AI dalam sektor kesihatan menerusi pelaksanaan saringan paru-paru berasaskan teknologi itu di klinik kesihatan awam dan program lapangan di seluruh negara.  

Beliau berkata seramai 9,174 pesakit sudah disaring setakat ini dengan kira-kira 26.9 peratus dikesan mempunyai X-ray dada tidak normal termasuk penemuan 724 nodul paru-paru, 73 kes berisiko tinggi barah serta beberapa kes disyaki tuberkulosis (TB).
 
“Penemuan awal ini membolehkan rujukan pantas dan rawatan segera diberikan bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan walau secanggih mana teknologi AI diperkenalkan, pengamal perubatan dan petugas kesihatan barisan hadapan tetap menjadi nadi utama dalam setiap keputusan klinikal dan rawatan.  

“Kehadiran AI sesekali tidak akan menggantikan kepakaran serta sentuhan manusiawi seorang doktor atau jururawat, sebaliknya memperkasa dan melengkapi keupayaan mereka,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata Malaysia akan terus memastikan pembangunan teknologi kesihatan dipandu dengan penuh tanggungjawab demi membina sistem kesihatan yang lebih mampan, yang mengangkat nilai kemanusiaan.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita