Skip to main content

Dunia

Malaysia sasar jadi ekonomi utama dunia jelang 2030

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia sasar jadi ekonomi utama dunia jelang 2030

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Jul 2025 02:30PM Dikemas Kini : 31 Jul 2025 02:32PM
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk bangkit sebagai peneraju ekonomi Asia dengan identiti tersendiri berasaskan budaya dan hikmah Timur, sekali gus muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia menjelang 2030.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata bagi merealisasikan aspirasi tersebut, Malaysia perlu mempercepatkan peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dan pemupukan budaya inovasi.

“Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia,” kata PM Anwar ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030 di Parlimen pada Khamis (31 Jul).

Encik Anwar turut menekankan pentingnya memperkukuh daya saing Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi tempatan dan transformasi digital.

“Hari ini, peluang generasi atau “generational opportunity” dalam kecerdasan buatan (AI) berada di hadapan mata dan tidak harus dilepaskan.

“Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh dibaharui dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global,” kata beliau. 

Encik Anwar turut berkata penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi keutamaan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutamanya melalui pembangunan aset digital strategik seperti AI, analitik data dan sistem digital kerajaan.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi, selaras hasrat menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan,” kata beliau. 

Encik Anwar berkata bagi memanfaatkan peluang ini, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan menjadi pemacu kepada pembangunan bakat tempatan, penyelidikan serta pengkomersialan teknologi bagi menyokong adaptasi AI secara meluas.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita