Malaysia saran larang pelajar bawah 16 tahun guna telefon bijak
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berinteraksi dengan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus di Putrajaya pada 17 Oktober 2025. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
Beliau berkata larangan itu adalah bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan online yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif termasuk kes buli dan jenayah di sekolah.
"Larangan penggunaan telefon bijak untuk usia 16 tahun ke bawah, penelitian masih dibuat tetapi banyak negara (yang) melaksanakan masih izinkan telefon untuk penggunaan anak-anak… tapi saya fikir kita harus tegas dalam hal ini," katanya.
PM Anwar berkata Jemaah Menteri turut menyarankan agar pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri mempertingkatkan pemantauan keselamatan di sekolah.
Beliau berkata Jemaah Menteri juga mencadangkan agar kandungan pendidikan ditambah baik dengan sokongan daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengawal selain menerapkan nilai murni dan akhlak dalam kalangan pelajar.
"Dalam MADANI ditekankan soal nilai, akhlak dan pendidikan harus cemerlang tetapi harus diteliti... ramai yang terdedah dengan pendidikan Islam termasuk tahfiz dan agama tetapi kadang-kadang kesedaran, kefahaman itu tidak dihayati,” katanya.
PM Anwar juga berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberi penjelasan lebih terperinci dalam masa terdekat, termasuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak sekolah, PIBG dan masyarakat.
"Saya harap semua pihak termasuk guru besar, pengetua, guru dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Kadangkala masalah timbul kerana salah faham atau keutamaan yang tidak selari,” katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.