Malaysia sambut ulang tahun keputeraan rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim pada Ahad (23 Mac).

Encik Ahmad Zahid dan Fahmi kedua-duanya melafazkan ucap tahniah kepada Sultan Ibrahim menerusi media sosial mereka. (Gambar: Bernama)
Menerusi catatan di Facebook, Encik Ahmad Zahid berkata beliau dan keluarga mendoakan agar Sultan Ibrahim yang juga Yang di-Pertuan Agong duduk di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan.
“Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Yang di-Pertuan Agong. Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor.
“Daulat Tuanku. Sembah patik bersama seluruh ahli keluarga, kakitangan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta seluruh kepimpinan dan ahli-ahli UMNO,” kata Encik Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden UMNO.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi turut mengucapkan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim.
Dalam catatan di laman Facebooknya, Encik Fahmi mendoakan agar Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta terus diberi keafiatan dan sentiasa dilimpahi kedaulatan yang penuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.