Skip to main content

Dunia

Malaysia pertimbang tindakan tegas tangani isu jualan semula tiket konsert pada harga tinggi

Malaysia sedang menimbangkan tindakan tegas bagi menangani isu penjualan semula tiket konsert pada harga tinggi atau 'concert ticket scalping' dan mungkin memperkenalkan undang-undang baharu.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia pertimbang tindakan tegas tangani isu jualan semula tiket konsert pada harga tinggi

Konsert kedua My Chemical Romance ditambah di Kuala Lumpur selepas semua 60,000 tiket untuk persembahan pertama habis terjual dalam beberapa jam. (Gambar: Facebook/Hello Universe)

JOHOR BAHRU: Malaysia sedang menimbangkan tindakan tegas bagi menangani isu penjualan semula tiket konsert pada harga tinggi atau 'concert ticket scalping' dan mungkin memperkenalkan undang-undang baharu.

Ini menyusuli aduan dari para peminat kugiran rok My Chemical Romance yang gagal mendapatkan tiket bagi konsert jelajah kugiran itu di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Mantan Menteri Perhubungan Malaysia Teo Nie Ching berkata pada Ahad (10 Ogos) bahawa kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung isu berkenaan, termasuk kemungkinan membentangkan Rang Undang-Undang, lapor media setempat di Malaysia.

"Kementerian Perhubungan Malaysia juga mendampingi pihak penganjur acara dan syarikat-syarikat jualan tiket bagi membincangkan huraian paling sesuai bagi menyelesaikan isu berkenaan," katanya di sebuah acara di Johor, seperti dinukil agensi berita kebangsaan BERNAMA.

Menurut wadah berita tempatan di Malaysia, Malay Mail, semua 60,000 tiket bagi konsert My Chemical Romance pada 30 April tahun depan di Stadium Bukit Jalil habis dijual dalam masa empat jam selepas ia dilancarkan pada 11 Julai.

Tiket-tiket itu kemudian dijual semula di beberapa wadah online pada harga yang melambung tinggi.

Dalam satu kes, tiket bagi kategori Zon C yang dijual pada harga asal RM499 (S$151) ditawarkan pada harga RM6,000 (S$1,818), iaitu 12 kali ganda lebih tinggi berbanding harga asal, lapor laman berita tempatan Free Malaysia Today.

Beberapa peminat My Chemical Romance meluahkan rungutan mereka menerusi online dan menggesa agar langkah-langkah diambil bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam penjualan tiket.

Ada yang mencadangkan supaya pembelian tiket dihubungkan dengan nombor kad pengenalan pembeli.

Selepas kesemua tiket bagi konsert pertama habis dijual, pihak penganjur mengumumkan tarikh persembahan yang kedua pada 1 Mei 2026.

Kesemua 60,000 tiket bagi konsert pada tarikh tersebut juga habis dijual.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita