Skip to main content

Dunia

Malaysia pertimbang potong subsidi minyak untuk golongan berpendapatan tinggi susuli kenaikan kos

Anggaran Waktu Membaca:
  Malaysia pertimbang potong subsidi minyak untuk golongan berpendapatan tinggi susuli kenaikan kos

Konflik Timur Tengah menaikkan harga minyak di seluruh dunia. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin mula mengurangkan subsidi bahan api bagi golongan berpendapatan tinggi seawal bulan depan, menurut Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Langkah ini diambil ketika kerajaan negara itu bergelut dengan kenaikan kos akibat harga minyak dunia yang tidak menentu.

Semakan semula itu dilakukan selepas bil subsidi bulanan kerajaan melonjak kepada kira-kira RM6 bilion (S$1.6 bilion) setakat April lalu, sekali gus mendorong penggubal dasar untuk beralih kepada bantuan yang lebih bersasar.

Malaysia menjangkakan bekalan bahan api dan bahan kritikal lain akan terus tidak menentu untuk tempoh berbulan-bulan, atau mungkin bertahun-tahun - walaupun jika konflik di Timur Tengah berakhir, kata Encik Akmal kepada Mediacorp pada Selasa (5 Mei).

"Keadaannya sangat tidak menentu sekarang. Sebab itu anggaran kos akan meningkat pada setiap minggu," katanya memberi amaran.

Beliau menjelaskan bahawa unjuran awal kos subsidi adalah sekitar RM3 bilion (S$900 juta) sebulan apabila krisis Timur Tengah memuncak pada Mac lalu, namun angka itu kini telah meningkat sekali ganda.

Peningkatan mendadak ini memberi tekanan kepada kewangan awam dan menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kerajaan mampu terus melindungi pengguna daripada harga minyak yang tinggi.

BIL SUBSIDI BAHAN API MELAMBUNG

Buat masa ini, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa bekalan bahan api akan kekal mencukupi sehingga bulan depan. Kerajaan persekutuan masih mengekalkan harga siling RM1.99 (S$0.64) seliter bagi petrol RON95 untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.

Sebelum konflik Timur Tengah tercetus, kerajaan Malaysia pada asalnya merancang untuk memotong subsidi RON95 bagi 15 peratus golongan berpendapatan teratas (T15). Namun, pada September lalu, kerajaan mengakui terpaksa menundakan langkah itu kerana mengambil kira tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Encik Akmal memberi isyarat bahawa kerajaan kini berhasrat untuk mengurangkan skop subsidi, dengan membiarkan golongan yang lebih kaya membayar kos bahan api yang lebih tinggi.

"Sedang kita bergerak ke hadapan, saya rasa kita perlu lebih bersasar bagi memastikan orang awam terus menikmati manfaat dan kos sara hidup kekal stabil," tambahnya. "Segmen masyarakat tertentu - iaitu mereka yang mampu di peringkat lebih tinggi - boleh menanggung kos tersebut."

USAHA PELBAGAI GUNA TENAGA

Selain pembaharuan subsidi, Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api.

Biodiesel menjadi fokus utama, di mana Malaysia boleh memanfaatkan industri minyak sawit yang besar sebagai strategi jangka panjang untuk melindungi ekonominya daripada turun naik pasaran tenaga global.

Sekalipun demikian, Encik Akmal memberi amaran bahawa pasaran tenaga global mungkin akan kekal tidak stabil untuk tempoh yang lama.

"Mungkin dunia akan mengambil masa lebih 18 bulan untuk pulih. Malah, keadaan mungkin tidak akan kembali seperti yang kita harapkan," katanya, sambil menambah bahawa banyak negara perlu menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan pasaran tenaga yang berpanjangan.

"Mungkin tiada lagi istilah 'normal' - ini adalah 'norma baharu'. Jadi kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita