Skip to main content

Dunia

Malaysia perluas penggunaan kod QR kepada penunggang motosikal, pejalan kaki di pusat pemeriksaan Johor

Malaysia pada Rabu (15 Okt) meluaskan penggunaan kod QR bagi pelawat dari Singapura dan negara lain untuk melepasi pemeriksaan imigresen di laluan motosikal dan pejalan kaki yang tertentu di pusat pemeriksaan darat Johor.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia perluas penggunaan kod QR kepada penunggang motosikal, pejalan kaki di pusat pemeriksaan Johor

Pemandangan dari udara di koswe pada 6 Ogos 2025. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

SINGAPURA: Malaysia pada Rabu (15 Okt) meluaskan penggunaan kod QR bagi pelawat dari Singapura dan negara lain untuk melepasi pemeriksaan imigresen di laluan motosikal dan pejalan kaki yang tertentu di pusat pemeriksaan darat Johor.

Langkah itu menyusuli “kejayaan fasa pertama percubaan” di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dimulakan pada 22 September lalu, yang pada peringkat awalnya melibatkan lorong-lorong kereta di dua pintu masuk utama di bahagian selatan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada Selasa.

Kementerian itu merujuk kepada kaunter imigresen bagi kereta di kompleks kastam, imigresen dan kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang dihubungkan dengan Koswe Woodlands, serta kompleks imigresen Sultan Abu Bakar yang dihubungkan dengan Linkedua Tuas.

“Penunggang motosikal dan pejalan kaki digalakkan memuat turun aplikasi MyNIISe bagi menjana kod QR peribadi untuk digunakan di lorong khas yang disediakan sepanjang tempoh percubaan,” menurut kementerian itu pada Selasa.

Program rintis di bawah NIISe - yang bertujuan mempermudah proses pemeriksaan imigresen - akan dijalankan hingga 28 Februari 2026.

“Sepanjang tempoh percubaan NIISe, sistem kod QR sedia ada dan aplikasi MyBorderPass masih boleh digunakan. Namun, orang awam termasuk pelawat asing digalakkan beralih kepada aplikasi MyNIISe bagi urusan kemasukan imigresen di pintu masuk yang telah mengaktifkan penggunaannya,” menurut Kementerian Dalam Negeri.

Mediacorp sebelum ini difahamkan bahawa aplikasi MyNIISe dijangka menggantikan MyBorderPass selepas fasa percubaan berakhir pada Mac.

Kementerian tersebut turut mengingatkan orang ramai bahawa dokumen perjalanan yang sah atau pasport masih diperlukan bagi urusan kemasukan imigresen mengikut peruntukan Akta Imigresen.

Menurut laporan The Star pada Rabu, lebih 80,000 orang sudah mendaftar untuk menggunakan aplikasi MyNIISe setakat ini, namun tidak memberi butiran pecahan antara warga Malaysia dan pelawat asing.

Aplikasi itu boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

“(Sistem NIISe) bertujuan mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen, mengurangkan kesesakan dan memperkukuh keselamatan sempadan negara melalui penggunaan teknologi digital yang lebih cekap dan mesra pengguna,” menurut Kementerian Dalam Negeri.

Peluasan penggunaan aplikasi MyNIISe untuk penunggang motosikal sebelum ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, minggu lalu.

“Sebanyak tujuh lorong keluar di BSI - (lorong) B1 hingga B7 - disediakan secara khusus untuk pengguna motosikal yang menggunakan aplikasi MyNIISe,” katanya dalam catatannya di Facebook pada Jumaat.

Di kompleks imigresen Sultan Abu Bakar yang dihubungkan dengan Linkedua Tuas, terdapat lapan lorong motosikal, dengan empat lorong (B21 hingga B24) yang dilengkapi dengan sistem imbasan kod QR MyNIISe, tambah beliau.

Selain dua pusat pemeriksaan darat itu, percubaan tersebut juga akan dilaksanakan secara berperingkat di lapangan terbang utama di seluruh negara - termasuk Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa fasa percubaan bagi pengguna kereta yang bermula pada 22 September lalu menunjukkan hasil bercampur-campur pada hari pertama.

Beberapa masalah timbul dengan penggunaan aplikasi itu ketika keluar dari Johor, dengan Mediacorp dimaklumkan oleh pegawai imigresen di kaunter pemeriksaan bahawa sistem tersebut masih belum beroperasi.

Langkah memperkenalkan pelepasan imigresen menggunakan kod QR itu amat dinanti-nantikan, memandangkan konsep perjalanan tanpa pasport di sempadan darat sudah dirancang sejak Januari 2024.

Pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia sebelum ini menyatakan kedua-dua pihak sedang meneroka sistem pelepasan tanpa pasport sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mempercepatkan proses imigresen menjelang pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Singapura melaksanakan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR di pusat pemeriksaan daratnya dengan Johor pada 19 Mac tahun lalu.

Ini pula merupakan kali pertama Malaysia memperkenalkan inisiatif tersebut kepada pelawat asing.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita