Skip to main content

Dunia

Malaysia perlu lebih ramai hakim; jumlah kes mahkamah lonjak 60% sejak 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia perlu lebih ramai hakim; jumlah kes mahkamah lonjak 60% sejak 2021
Gambar fail Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Diterbitkan : 13 Jan 2026 06:09PM Dikemas Kini : 13 Jan 2026 06:31PM
KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Malaysia memberi amaran bahawa negara itu tidak mempunyai hakim yang mencukupi untuk menangani beban kerja yang semakin meningkat.

Beliau turut menekankan bahawa ini meletakkan "tekanan yang besar dan semakin meningkat ke atas sistem keadilan".

Dalam ucapannya pada Pembukaan Tahun Perundangan 2026 pada Isnin (12 Jan), Ketua Hakim Negara Malaysia Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata bahawa bilangan kes mahkamah di Malaysia meningkat sekitar 60 peratus sejak beberapa tahun lalu.

Beliau menyebut bagaimana pendaftaran kes jenayah meningkat daripada 1,522,005 kes pada 2021 kepada 2,486,567 kes pada November 2025, iaitu peningkatan sebanyak 63.37 peratus.

Sementara itu, pendaftaran kes sivil naik daripada 303,335 kes kepada 483,933 kes pada tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 59.54 peratus.

Encik Wan Ahmad menarik perhatian bahawa angka tersebut "mencerminkan trend struktur dan bukannya lonjakan sementara".

"(Tetapi) melihatnya secara positif, masyarakat yang lebih banyak membawa kes ke mahkamah adalah masyarakat yang mempunyai kepercayaan terhadap badan kehakimannya," katanya seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail.

Namun, Encik Wan Ahmad Farid memberi amaran terhadap jumlah dan kerumitan kes mahkamah yang tinggi berbanding dengan bilangan hakim sedia ada, yang kini berjumlah 482.

"Walaupun menghadapi tekanan yang semakin meningkat ini, hakim dan pegawai kehakiman di semua peringkat terus melaksanakan tugas mereka secara profesional, tekun, dan dengan komitmen - berusaha sedaya upaya untuk memastikan kes-kes diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Encik Wan Ahmad Farid menyeru lebih banyak sokongan institusi, sambil menambah bahawa terdapat keperluan untuk menambah lebih ramai hakim kepada senarai sedia ada.

"Terdapat had semula jadi kepada jumlah beban kerja tambahan yang boleh ditampung tanpa menjejas kesejahteraan dan mutu kami dalam membuat keputusan," katanya.

Encik Wan Ahmad Farid berkata bahawa Malaysia kini mempunyai nisbah satu hakim mahkamah atasan bagi kira-kira 239,852 orang, berdasarkan bilangan 36 juta penduduk.

Ini kemudian dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Australia - yang mempunyai sekitar seorang hakim mahkamah tinggi bagi setiap 124,000 orang - dan Kanada yang mempunyai sekitar seorang hakim bagi setiap 47,000 orang.

Menurut Biro Statistik Australia, negara itu mempunyai penduduk seramai 27.6 juta orang pada Jun 2025.

Sementara itu, Kanada mempunyai sekitar 41.6 juta penduduk, menurut anggaran penduduk terkini.

Menurut laporan Malay Mail, Encik Wan Ahmad Farid berkata bahawa negara-negara tersebut mempunyai beban kerja yang lebih mampan untuk hakim-hakim, dan kes mahkamah dapat diselesaikan dengan lebih pantas di sana.

"Implikasinya jelas. Kekurangan tenaga kehakiman buat masa ini, baik di peringkat mahkamah tinggi mahupun rendah, meletakkan tekanan yang besar dan semakin meningkat kepada sistem keadilan," katanya.

Encik Wan Ahmad Farid seterusnya menyatakan bahawa hakim-hakim Mahkamah Sesyen dan majistret di Malaysia mempunyai beban kerja yang berat kerana "bilangan jawatan tetap yang terhad" untuk jawatan-jawatan tersebut, sekali gus menyumbang kepada kelengahan dan pengagihan beban kerja yang tidak seimbang di negeri-negeri dan daerah-daerah yang berbeza.

"Atas sebab-sebab ini, terdapat keperluan mendesak dan segera bagi kerajaan untuk menimbangkan peningkatan bilangan ... pegawai kehakiman, terutamanya mereka yang berkhidmat di mahkamah rendah," katanya.

Bagi hakim mahkamah atasan, beliau berkata Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sedang mengkaji cadangan untuk pelantikan hakim dan pesuruhjaya kehakiman, serta saranan untuk mencadangkan kemungkinan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan jika terdapat keperluan sedemikian.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita