Malaysia perkenal ‘langkah drastik’, dedah nama syarikat pengangkutan dengan banyak saman tertunggak
Penyedia perkhidmatan pengangkutan dengan jumlah saman trafik tertunggak yang tinggi, didedahkan kepada umum sebagai sebahagian daripada tindakan tegas terhadap pesalah lalu lintas berikutan peningkatan nahas jalan raya, menurut Menteri Pengangkutan Malaysia.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, mendedahkan senarai pengendali kenderaan komersil dengan jumlah saman trafik tertunggak yang tinggi semasa sidang media pada 25 Jun 2025. (Gambar: Instagram/lokesiewfook)
Ini termasuk sebuah syarikat yang belum membayar lebih 22,000 saman terhadapnya.
“Ini langkah drastik yang kami ambil menyusuli beberapa kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa dan selepas orang awam bertanya apa tindakan kami dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menangani masalah ini,” kata Encik Anthony Loke, seperti dipetik portal berita Malay Mail.
Pengumuman itu dibuat pada Rabu (25 Jun), dua minggu selepas beliau mengumumkan rancangan untuk membangunkan pangkalan data pemandu bas bagi menyenaraikan pemandu cuai, menyusuli nahas bas di Perak, yang meragut nyawa 15 pelajar universiti awal bulan ini.
Pada Rabu, Kementerian Pengangkutan Malaysia mendedahkan senarai 28 pengendali kenderaan komersil dengan jumlah saman trafik tertunggak yang tinggi dan memberi amaran agar mereka menyelesaikannya dengan segera.
Menurut agensi berita Bernama, senarai tersebut dibahagikan kepada dua kategori, yang merangkumi 11 pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres.
Dalam satu sidang media, Encik Loke berkata bahawa senarai nama syarikat akan terus didedahkan dari semasa ke semasa sebagai amaran keras kepada pengendali bas dan logistik agar mereka mematuhi peraturan.
“Ini satu amaran supaya mereka mengubah budaya korporat (kepada) budaya yang menitikberatkan keselamatan kenderaan dan memastikan setiap pemandu mematuhi piawaian keselamatan,” katanya seperti yang dipetik Bernama.
Menurut Encik Loke, saman-saman tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Beliau menambah, lima kesalahan utama yang direkodkan adalah memandu melebihi had laju, memandu tanpa lesen, pelanggaran teknikal, membawa muatan berlebihan serta memandu tanpa lesen kenderaan bermotor atau insurans.
Mendahului senarai pesalah dalam kategori pengendali kenderaan barangan ialah KDEB Waste Management, syarikat pengurusan projek yang dilantik kerajaan negeri Selangor untuk mengutip sisa.
Menurut Kementerian Pengangkutan, syarikat itu mempunyai lebih 22,000 saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan.
Sementara itu, dalam senarai pengendali bas komersil, syarikat Cepat Express Sdn Bhd mencatat jumlah saman tertunggak tertinggi iaitu sebanyak 540 saman.
Menurut Malay Mail, syarikat itu mengendalikan perkhidmatan di laluan selatan dan tengah-timur Semenanjung Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.