Skip to main content

Dunia

Malaysia perhalusi proses permohonan VEP di tengah lonjakan pendaftaran jelang tarikh akhir 1 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Permohonan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) asing melonjak kepada 23,649 bagi tempoh antara 28 Mei hingga 29 Jun tahun ini, sekali gus melebihi permohonan untuk keseluruhan tahun lalu iaitu 15,424, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama sebanyak 6,120 tag VEP dikeluarkan kepada pemohon, manakala 1,080 tag VEP diaktifkan.

“Penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag VEP dengan memuat naik gambar nombor pendaftaran kenderaan bersama tag VEP yang telah dilekat di https://vepams.jpj.gov.my selepas menerima tag VEP itu. Tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan.

“Saya juga ingin memaklumkan permohonan untuk mendapatkan VEP masih boleh dibuat selepas tarikh penguatkuasaan pada 1 Okt depan,” katanya dalam sidang media pada Isnin (1 Jul).

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) juga menambah baik sistem dan proses pendaftaran VEP yang mula dilaksanakan dalam portal VEP mulai Jumaat lalu (28 Jun) dan akan meminimakan keperluan untuk berurusan secara emel atau di kaunter.

Antara penambahbaikan utama yang telah diperkenalkan termasuk pembatalan pendaftaran atau 'deregistration' VEP boleh dibuat secara dalam talian; dan VEP yang tamat tempoh iaitu mencapai lima tahun dari tarikh pendaftaran akan dibatalkan secara automatik.

Selain itu, pembaharuan VEP boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu menunggu tag VEP sedia ada tamat tempoh; dan notifikasi akan dihantar kepada pemilik kenderaan 60 hari, 30 hari dan 10 hari sebelum tamat tarikh tempoh VEP.

Encik Loke berkata MOT juga menambah petugas untuk mengurus pertanyaan emel daripada lima kepada 15 orang dan menambah staf daripada tujuh kepada 12 orang di Pusat Pengambilan VEP.

“Ini akan bantu percepatkan proses menjawab sebarang pertanyaan melalui emel atau di kaunter yang meningkat berlipat ganda sejak pengumuman penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk pengenalan 'Open Toll Payment System' (OPS) yang akan membolehkan penggunaan kad kredit dan debit sebagai pilihan tambahan kepada Touch N’ Go untuk pembayaran 'Road Charge'.

Beliau berkata fungsi OPS boleh digunakan mulai 1 Ogos depan, namun pengguna boleh memuat turun aplikasi MDGS melalui Google Play Store atau Apple App Store untuk menyesuaikan dan memahami fungsi aplikasi itu.

Pada 28 Mei lalu, Encik Loke mengumumkan Peraturan VEP asing di sempadan darat Malaysia-Singapura dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Okt ini bagi memastikan pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan jalan raya.

Encik Loke berkata selepas tempoh itu, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap mana-mana pemandu yang memandu kenderaan asing tanpa VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun atau didenda tidak melebihi RM2,000 (S$574) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan seperti ketetapan Seksyen 119(2) di bawah Akta 333.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita