Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia panggil diplomat Perancis berhubung ucapan anti-Islam

Kementerian Luar Malaysia mengulangi pendirian negara itu yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia panggil diplomat Perancis berhubung ucapan anti-Islam

Gambar fail Wisma Putra, kompleks Kementerian Luar Malaysia (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Oct 2020 08:19AM Dikemas Kini : 29 Oct 2020 08:23AM

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Malaysia mengulangi pendirian negara itu yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad.

Menurut kenyataan kementerian itu, pendirian tersebut dizahirkan dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur Gilles Barrier, yang dipanggil ke Wisma Putra pada Rabu (28 Okt).

"Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain," demikian menurut kenyataan itu pada Rabu malam.

Pada pertemuan itu juga Malaysia menyatakan kegusaran terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

"Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama," kata kementerian itu.

Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat, dan dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah fahaman pelampau agama.

Kedutaan itu, dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, berkata Presiden Emmanuel Macron tidak menyasarkan masyarakat Islam di Perancis tetapi hanya ideologi - Islamisme radikal - yang perlu diasing dan ditentang.

"Presiden jelas menyatakan beliau akan bertegas terhadap sebarang bentuk kesimpulan umum, membezakan majoriti besar penganut Islam Perancis dengan kumpulan pemisah minoriti yang menentang nilai Republik serta golongan yang membebankan kelompok majoriti," menurut kenyataan itu.

Menurut laporan media, pada 16 Okt lalu seorang guru di pinggir kota Paris dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya dalam satu kelas mengenai kebebasan bersuara.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan