Skip to main content

Dunia

Malaysia nafi laporan Jho Low adakan rundingan 1MDB di negara itu

Seorang penggubal undang-undang kanan Malaysia pada Khamis (9 Jul) menyangkal dakwaan bahawa ahli perniagaan buruan Jho Low memasuki negara itu bagi rundingan berkaitan kes kecurian berbilion dolar dari dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia nafi laporan Jho Low adakan rundingan 1MDB di negara itu

Ahli perniagaan Malaysia, Jho Low. (Gambar: Dimitrios Kambouris/AFP)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 04:33PM
KUALA LUMPUR: Seorang penggubal undang-undang kanan Malaysia pada Khamis (9 Jul) menyangkal dakwaan bahawa ahli perniagaan buruan Jho Low memasuki negara itu bagi rundingan berkaitan kes kecurian berbilion dolar dari dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Low, yang nama penuhnya adalah Low Taek Jho, berdepan beberapa tuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan Malaysia berhubung peranan utama yang didakwa dimainkannya dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (S$5.8 bilion) dari 1MDB.

Low secara konsisten menafikan salah laku dan keberadaannya tidak diketahui.

Portal berita Sarawak Report, yang memainkan peranan utama dalam membongkar skandal 1MDB itu, melaporkan pada Mei lalu bahawa Low memasuki Malaysia secara rahsia pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada sebuah delegasi dari China untuk merundingkan hutang berkaitan 1MDB.

Wall Street Journal melaporkan secara berasingan pada Mei lalu bahawa Low sedang berunding dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai pemulangan aset berkaitan 1MDB.

Timbalan Menteri Kewangan Malaysia Liew Chin Tong menafikan butiran kedua-dua laporan itu selepas disoal di parlimen oleh para penggubal undang-undang mengenai 1MDB.

"Saya menafikan semua dakwaan itu," katanya.

Dalam jawapannya, Encik Liew berkata kerajaan masih perlu melunaskan kira-kira RM20.1 bilion (S$25.9 bilion) hutang 1MDB.

Jumlah kewajipan dana tersebut adalah RM51.4 bilion (S$66.4 bilion), kata Encik Liew, sambil menambah bahawa Malaysia setakat ini telah mendapatkan semula aset bernilai RM31.3 bilion (S$40.4 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.

Usaha pemulihan aset masih diteruskan, termasuk prosiding jenayah dan sivil terhadap Low serta institusi kewangan yang membolehkan skandal itu berlaku, katanya.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita