Malaysia mungkin kerah tentera jika rakyat masih ingkar Perintah Kawalan Pergerakan
Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.
PUTRAJAYA: Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.
Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, ini antara cadangan diketengahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan yakin polis masih mampu membuat kawalan.
Buat masa ini, Encik Ismail Sabri berkata polis akan mengambil tindakan berhemah dengan menasihat masyarakat, namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan undang-undang mungkin terpaksa diambil pihak berkuasa sekiranya tahap pematuhan masyarakat tidak meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, sekatan jalan raya oleh pihak polis sebagaimana dilakukan semalam juga akan diteruskan, susulan laporan pematuhan masyarakat terhadap perintah itu hanya 60 peratus sebelum sekatan jalan raya itu diadakan.
"Mungkin dua tiga hari pertama ini tindakan berhemah akan diambil (polis) iaitu setakat memberi nasihat. Saya percaya polis akan ubah cara dia dari menasihati kepada tindakan lebih keras jika rakyat masih tak patuh," katanya menambah bahawa sebanyak 504 sekatan dilaksanakan seluruh negara dan 6,135 kenderaan diperiksa.
Selain polis, katanya, khidmat anggota Rela turut digunakan untuk melakukan kawalan, terutama di kawasan luar bandar.
Dalam perkembangan lain, Encik Ismail Sabri berkata polis akan mengesan baki kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, di sini yang belum membuat saringan.
Mengenai laporan 89 rakyat Malaysia yang kini berada di Indonesia bagi menyertai perhimpunan sama di negara berkenaan pula, beliau berkata mereka akan dikuarantin apabila tiba di Malaysia.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.