Skip to main content

Dunia

Malaysia masih timbang saranan SG untuk beli 2 bidang tanah miliknya di Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia masih timbang saranan SG untuk beli 2 bidang tanah miliknya di Woodlands

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke SG Dr Azfar Mohamad Mustafar. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 18 Feb 2024 02:57PM Dikemas Kini : 18 Feb 2024 02:58PM

SINGAPURA: Cadangan Singapura untuk membeli dua bidang tanah milik Malaysia untuk tujuan pembangunan semula Pintu Masuk Woodlands (WCP) masih dalam perbincangan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata adalah logik bagi Singapura untuk membeli tanah itu tetapi persoalannya adalah sama ada Malaysia ingin menjual atau menukarnya dengan tanah lain, yang kedua-dua negara pernah lakukan sebelum ini, masih belum diputuskan.

"Singapura telah menyatakan hasratnya kepada Malaysia (untuk pembelian tanah itu). Pihak berkuasa yang berkaitan di Malaysia sedang berunding dan mengkajinya. Sehingga ini kami belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa yang berkaitan," kata Encik Azfar yang ditemui para wartawan pada Sabtu (17 Feb).

Menurut Encik Azfar, semua tanah kerajaan di luar negara didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Beliau berkata Singapura telah menyatakan hasratnya tahun lalu untuk membeli tanah milik kekal yang meliputi kira-kira 2.3 ekar (0.9 hektar) secara keseluruhannya.

Encik Azfar mengatakan beliau telah mencadangkan keadah pertukaran tanah dengan tanah terlibat tetapi kata putus tentang perkara itu akan dibuat oleh kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, pada September 2010, Singapura dan Malaysia telah menandatangani perjanjian pertukaran tanah untuk menyelesaikan perolehan yang melibatkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di republik itu yang melibatkan tiga bidang tanah masing-masing di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, serta tiga lagi di Bukit Timah.

Sebagai ganti, Singapura menawarkan pertukaran dengan empat kawasan tanah di Marina South dan dua kawasan di Ophir-Rochor.

WCP yang dibangunkan semula akan beroperasi secara berperingkat bermula tahun 2028.


ICA telah menjalankan kajian kelayakan dan teknikal yang meluas untuk menentukan jumlah tanah yang optimal yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa akan datang.

Tanah yang diperlukan untuk pembangunan semula WCP hanya boleh diperolehi melalui pemerolehan tanah dan tambak tanah.

Apabila ditanya sama ada Malaysia masih memiliki tanah di Singapura, Encik Azfar berkata: "Kami (kerajaan persekutuan) memiliki kawasan tanah di sekitar pulau itu. Salah satunya adalah sebidang tanah seluas satu ekar di Holland Village."

Beliau menambah bahawa ini tidak termasuk tanah di Singapura yang dimiliki oleh Johor.

Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita