Skip to main content

Dunia

Malaysia lulus peruntukan RM1.5 bilion bina tembok keselamatan Kelantan-Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia lulus peruntukan RM1.5 bilion bina tembok keselamatan Kelantan-Thailand

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 21 Oct 2025 12:21PM
KOTA BHARU: Kerajaan Malaysia meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion (S$459.1 juta) bagi pembinaan tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. 

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.

Beliau berkata tembok keselamatan itu akan dibina di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga ke Tanah Merah.

“Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara (Shamsul Azri Abu Bakar) bersama pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ada melakukan lawatan ke sempadan negara.

“Perkara ini (pembinaan tembok keselamatan) ada dibincangkan dengan KSN bersama MKN sebagai peruntukan tambahan dan ia dalam proses (sebut harga/tender),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa (21 Okt).

Encik Mohd Yusoff berkata tembok keselamatan yang akan dibina itu bukan sahaja berperanan mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan tetapi juga berfungsi sebagai benteng banjir.

Pada Ahad lalu, Bernama melaporkan penduduk Rantau Panjang berharap tembok ‘dua dalam satu’ itu bukan sahaja menjadi benteng bagi melindungi sempadan negara daripada dibolosi tetapi juga mampu menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh yang mengancam rumah penduduk dan perniagaan di kawasan terbabit.

Pada 13 Oktober lalu, Encik Mohd Yusoff dilaporkan berkata pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan, sekali gus mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan-Thailand.

Beliau dilaporkan berkata hal ini kerana bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan airnya cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional, meskipun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, dron atau kamera litar tertutup.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita