Skip to main content

Dunia

Malaysia, Laos perkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan ketersambungan

Malaysia dan Laos menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta mempererat perkongsian serantau dengan memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan ketersambungan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia, Laos perkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan ketersambungan

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Laos sudah berkembang menjadi perkongsian yang luas merangkumi kerjasama politik, ekonomi serta hubungan antara rakyat. (Gambar: Facebook/Embassy of Malaysia in Vientiane)

Diterbitkan : 06 Jul 2026 08:22AM
  • Malaysia dan Laos menegaskan komitmen memperkukuh kerjasama dua hala serta serantau sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
  • Majlis pelancaran sambutan diadakan di Vientiane pada 3 Julai, dihadiri pemimpin utama, pegawai kanan dan wakil antarabangsa.
  • Kedua-dua negara merancang pelbagai program sepanjang 2026, termasuk lawatan peringkat tinggi dan mesyuarat dua hala untuk mempererat hubungan.
  • Malaysia merupakan pelabur asing keempat terbesar di Laos, dengan perdagangan dua hala yang semakin meningkat, mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Laos menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta mempererat perkongsian serantau dengan memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan ketersambungan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Komitmen itu dizahirkan pada satu majlis di Vientiane pada Jumaat (3 Jul) yang turut menyaksikan pelancaran rasmi sambutan ulang tahun bersejarah itu.

Berucap pada majlis berkenaan, Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud berkata logo ulang tahun yang diperkenalkan pada acara itu melambangkan enam dekad persahabatan, saling menghormati dan kerjasama sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1 Julai 1966.

"Hubungan dua hala telah berkembang menjadi perkongsian yang luas dan berpandangan jauh merangkumi kerjasama politik, ekonomi serta hubungan antara rakyat," kata beliau menurut Agensi Berita Laos (KPL).

Encik Edi Irwan berkata hubungan peringkat tinggi antara kedua-dua negara terus berkembang, termasuk menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Laos pada 2023 dan lawatan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone ke Malaysia pada 2025.

"Penglibatan berterusan di bawah giliran kedua-dua negara sebagai Pengerusi ASEAN mencerminkan komitmen bersama terhadap kerjasama dan integrasi serantau," kata beliau.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Laos Maithong Thammavongsa, pegawai kanan pemerintah, anggota kor diplomatik serta wakil pertubuhan antarabangsa.

Sementara itu, Encik Maithong berkata Laos dan Malaysia sudah membina perkongsian kukuh sepanjang enam dekad berasaskan persahabatan, kepercayaan, saling menghormati dan kepentingan bersama.

Beliau berkata kedua-dua negara bekerjasama rapat menerusi platform dua hala, serantau dan antarabangsa bagi mempromosikan keamanan, kestabilan dan pembangunan mampan.

Beliau berkata Malaysia juga merupakan pelabur asing keempat terbesar di Laos dengan pelaburan terkumpul kira-kira AS$946 juta (S$1.22 bilion), manakala perdagangan dua hala meningkat kepada lebih AS$65 juta (S$83.93 juta) pada 2025 berbanding kira-kira AS$43 juta (S$55.52 juta) pada 2024, sekali gus mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh.

Pelbagai program sempena ulang tahun itu, termasuk pertukaran perutusan tahniah, lawatan peringkat tinggi dan mesyuarat dua hala, akan diadakan sepanjang 2026 bagi memperingati detik bersejarah itu serta memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan, ketersambungan dan hubungan antara rakyat.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita