Skip to main content

Dunia

Malaysia lanjutkan perjanjian dengan Ocean Infinity bagi pencarian bangkai pesawat MH370

Malaysia bersetuju untuk melanjutkan perjanjian antara kerajaan dengan Syarikat Ocean Infinity dari Britain bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi, berkuat kuasa selama 12 bulan, bermula dari 1 Julai hingga 30 Jun 2027.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia lanjutkan perjanjian dengan Ocean Infinity bagi pencarian bangkai pesawat MH370

Seorang wanita menulis pesanan semasa acara memperingati ulang tahun ke-10 kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 di Subang Jaya pada 3 Mac 2024. (Gambar fail: AFP/Arif Kartono)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 06:09PM
PUTRAJAYA: Malaysia bersetuju untuk melanjutkan perjanjian antara kerajaan dengan Syarikat Ocean Infinity dari Britain bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi, berkuat kuasa selama 12 bulan, bermula dari 1 Julai hingga 30 Jun 2027.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataannya pada Isnin (29 Jun) berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

"Keputusan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memberikan penutupan yang amat dinanti-nantikan oleh keluarga waris penumpang pesawat MH370," kata beliau.

Encik Loke berkata pelanjutan perjanjian itu mengekalkan kesemua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada termasuk penerapan prinsip "no find, no fee", yang mengikut prinsip berkenaan, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat terlibat sekiranya tiada bangkai pesawat yang ditemukan.

"Bagaimanapun, yuran pembayaran berjumlah AS$70 juta (S$90.5 juta) akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai," kata beliau.

Encik Loke berkata kelulusan pelanjutan tempoh itu bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

Menurut beliau, langkah itu turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima oleh Ocean Infinity yang memerlukan aset utama operasi sedia ada ditugaskan semula ke lokasi lain buat sementara waktu.

Beliau berkata penugasan dan penjadualan semula aset tersebut hanya boleh dibuat bermula November 2026 hingga April 2027, iaitu semasa musim keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan pencarian.

Pada 8 Mac 2014,  pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kakitangan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada pukul 6.30 pagi waktu tempatan, namun gagal dikesan menerusi radar dan tidak pernah sampai ke destinasinya.

Pencarian MH370 adalah antara operasi paling mahal dalam sejarah penerbangan dunia, melibatkan kos AS$200 juta (S$258.58 juta ketika itu), di samping penyertaan 82 pesawat dan 84 kapal laut dari 26 negara.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita