Skip to main content

Dunia

Malaysia laksana subsidi diesel bersasar libatkan pengguna di Semenanjung, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia laksana subsidi diesel bersasar libatkan pengguna di Semenanjung, kata PM Anwar

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung, kata
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa (21 Mei).

Beliau berkata, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

“Jadi, kita menangguhkan sebarang tindakan (penyasaran subsidi kepada pengguna di Sabah dan Sarawak) kerana akan membebankan rakyat terbanyak,” kata Encik Anwar ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan malam ini.

Menurutnya, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di Semenanjung, kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersil bermotor diesel.

Tambah beliau, subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Maknanya pengusaha bas, teksi, nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi, bantuan untuk membantu mereka. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada yang layak…petani kecil, pesawah.

“Maknanya untuk B40, M40 yang menggunakan diesel dalam penggunaan kecil seperti pertanian, perlombongan, penternakan, nelayan akan dibantu.

“Maknanya mereka tidak akan terkesan dengan penyasaran ini…yang tidak akan menerima manfaat dalam penyiaran ini adalah golongan T20, orang terkaya di atas dan 3.8 juta warga asing,” katanya.

Jelas PM Malaysia itu lagi, dengan penyasaran subsidi diesel tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan dijangka sekitar RM4 bilion (S$1.14 bilion)setahun.

Tambah beliau, kesan penyasaran itu adalah kepada golongan ‘maha kaya’ dan warga asing.

Katanya lagi, sekiranya ada rakyat kebanyakan terbeban, mereka boleh merujuk kepada Kementerian Pengangkutan dan kementerian berkaitan untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Tentunya saya jangka ada pihak akan gembar-gemburkan isu ini. Insya-Allah, saya dengan teman-teman menteri akan menjawab.

“Ini kerana saya beri pengakuan, sebarang penyasaran subsidi tidak harus membebankan rakyat terbanyak.

“Kalau ditanya kenapa perlu (penyasaran subsidi), ini kerana kita tidak mampu beri subsidi kepada golongan kaya dan warga asing,” tegas beliau.

Di Singapura, pendaftaran kereta atau teksi diesel baharu tidak akan dibenarkan mulai 2025.

Mengumumkannya di Parlimen pada 2021, Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Ong Ye Kung berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah dalam membawa masuk kenderaan yang dilengkapi enjin lebih bersih.
 
Sumber : Bernama/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita