Skip to main content

Dunia

Malaysia kumpul pandangan untuk tingkatkan mutu pendidikan

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kumpul pandangan untuk tingkatkan mutu pendidikan

Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek. (Gambar fail: Bernama)

PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengumpulkan pandangan dari pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan mutu pendidikannya.

Sehubungan dengan itu Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek berkata perbincangan meja bulat mengenainya akan diadakan di seluruh negara.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri perbincangan yang bermula pada Isnin (11 Dis), beliau berkata, ia merupakan pengubah keadaan dalam mendapatkan pandangan bagi mengenal pasti pencapaian, peluang dan penambahbaikan sektor pendidikan negara itu.

Perbincangan sulungnya hari ini dihadiri 25 orang seperti pakar pendidikan, ahli akademik, pemain industri dan golongan profesional. Mereka membincangkan perkara berkaitan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 serta laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 yang diumumkan pada 5 Disember lalu.

"Ia tidak akan berakhir di sini saja. Diskusi ini akan diperluaskan dengan perbincangan yang lebih mendalam dan terperinci selepas ini. Apa yang diangkat hari ini akan dibincangkan dalam perbincangan lain," kata Cik Fadhlina.

Mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 pula, beliau berkata, ia antara agenda bakal dimasukkan dalam siri Jelajah Pendidikan ke seluruh negara pada tahun depan.

"Rangka (Kurikulum Persekolahan 2027) sudah siap. Sekarang, kita dalam proses untuk pameran bergerak bagi membincangkan perkara ini pada peringkat akar umbi," katanya.

Sebelum ini, Cik Fadhlina dilaporkan berkata, pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, serta kelas pembelajaran bersepadu, adalah pendekatan baharu yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Kurikulum Persekolahan 2027.

Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita