Malaysia kerah pasukan ke Myanmar; negara Asia Tenggara utus takziah akibat gempa

Para penyelamat sukarelawan dilihat berada berhampiran dengan bangunan yang musnah akibat gempa bumi yang melanda pada 28 Mac 2025, di Naypyitaw, Myanmar. (Gambar: AP/Pasukan Maklumat Berita Sebenar Tentera Myanmar)
Ini selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda pada Jumaat (28 Mac).
Malaysia sudahpun mengerahkan sebuah pasukan daripada agensi pengurusan bencana kebangsaannya yang terdiri daripada 10 anggota, ke Myanmar.
Menurut Kementerian Luar Malaysia pada Sabtu (29 Mac), ia akan menghantar lagi 40 orang pada Ahad.
Myanmar mengemas kini angka korba berikutan gempa berkenaan kepada sekurang-kurangnya 694 pada pagi Sabtu- naik daripada 144 yang dilaporkan pada Jumaat - manakala, 1,670 lain cedera.
Tentera junta yang memerintah telah membuat rayuan bagi bantuan kemanusiaan dan mengisytiharkan keadaan darurat di daerah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Eastern Shan State dan ibu kotanya, Naypyidaw.
Gempa kuat tersebut turut dirasai di Chiang Mai, Bandar Ho Chi Minh dan ibu kota Bangkok, yang telah melaporkan lapan kematian setakat ini. Thailand turut mengisytiharkan darurat di negaranya.
"Berdasarkan dapatan pasukan pendahuluan itu, pengerahan kedua (agensi pengurusan bencana kebangsaan) membabitkan 40 anggota dijadual berangkat pada Ahad," menurut Kementerian Luar Malaysia mengenai pengerahan ke Myanmar, seperti yang dilaporkan media tempatan.
"Pasukan yang lebih besar ini akan memberi tumpuan kepada menangani bidang keutamaan yang dikenal pasti semasa penilaian awal, memastikan bantuan Malaysia kekal disasarkan, relevan dan responsif terhadap situasi yang berubah-ubah."
Selaku pengerusi ASEAN tahun ini, Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata bahawa anggota negara ASEAN akan menyelaraskan usaha bantuan bagi penduduk yang terjejas di Myanmar.
Ini akan dilakukan menerusi Pusat Penyelarasan untuk Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN.
Sementara itu, sebilangan negara Asia Tenggara turut menzahirkan takziah kepada mereka yang terjejas akibat gempa itu.
"Bagi pihak Malaysia, saya mengutuskan ucapan takziah mendalam kepada mereka yang telah kehilangan orang yang tersayang, dan (ingatan) kami untuk mereka yang cedera dan kehilangan tempat tinggal," kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menerusi catatannya di media sosial pada Jumaat.
Encik Anwar berkata bahawa Malaysia turut memantau rapi perkembangan di Yunnan, yang terletak di bahagian selatan China, di mana gegaran dirasakan dan kerosakan struktur dilaporkan.
"Fikiran dan doa kami bersama rakyat kedua-dua negara itu ketika masa sukar ini," jelasnya di wadah X pada Jumaat malam.
"Indonesia bersedia untuk memberikan semua sokongan yang diperlukan bagi usaha pemulihan di kawasan yang terjejas."
Filipina menzahirkan ucapan takziah kepada Myanmar dan Thailand. Ia menyatakan kesediaannya untuk membantu, menurut pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Jabatan Kesihatan pada Sabtu, lapor GMA News Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.