Skip to main content

Dunia

Malaysia kerah 24,000 kakitangan bomba hadapi gelombang kedua banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kerah 24,000 kakitangan bomba hadapi gelombang kedua banjir

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) memotong riben simbolik penyerahan jentera pada Majlis Taklimat Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 11 Dec 2024 08:55PM Dikemas Kini : 11 Dec 2024 10:27PM
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) mengerahkan seramai 13,556 anggota dan pegawai, 2,147 pegawai bomba bantuan serta 8,421 ahli pasukan bomba sukarela daripada 369 pasukan dari seluruh negara bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pasukan-pasukan penyelamat sudahpun berada di lapangan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pembekuan cuti 100 peratus juga telah dikuatkuasakan bermula 1 Dis lalu melibatkan pegawai dan anggota JBPM negeri dan yang terlibat operasi Monsun Timur Laut (MTL).

“Seramai 82,000 anggota daripada pelbagai agensi sudah bersedia untuk gelombang kedua,” katanya ketika berucap di Majlis Taklimat Kesiapsiagaan MTL di Balai Bomba Hang Tuah hari ini.

Encik Nga berkata bagi tempoh 5 Nov hingga 10 Dis lalu, JPBM telah menerima sebanyak 1,111 panggilan kes penyelamatan berhubung kejadian bencana alam di seluruh negara selain 1,119 operasi pemindahan mangsa banjir dilakukan oleh JBPM yang melibatkan seramai 5,193 mangsa.

Dalam perkembangan lain, Encik Nga berkata JBPM dijangka memperoleh 30 jentera pemadam api baharu paling canggih bermula tahun depan dan perolehan aset itu merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara kerajaan Malaysia dan China.

“Saya nampak ada jentera bomba yang perlu baik pulih yang besar selain kenderaan yang sudah digunakan sejak sekian lama dan kita perlukan RM30 juta untuk membaik pulih.

“Tetapi kita ada (peruntukan) RM18 juta sahaja, memang tidak cukup, namun dengan hubungan diplomatik yang berjaya diterokai oleh Yang Berhormat PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) telah berjaya memujuk China.

“(Kerajaan) China cakap untuk peruntukan itu (RM18 juta) mereka akan bagi kita RM60 juta (nilai jentera) atas dasar hubungan diplomatik antara dua negara,” katanya lagi.

Encik Nga berkata sebelum ini, Belanjawan 2025 meluluskan perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.
Sumber : Bernama//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita