Skip to main content

Dunia

Malaysia kecam pencerobohan Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh ribuan pelampau Yahudi

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kecam pencerobohan Kompleks Masjid Al-Aqsa oleh ribuan pelampau Yahudi

Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir antara yang mengunjungi Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis Timur yang diduduki pada Khamis lalu. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Jul 2026 03:51PM
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan beramai-ramai ke atas Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis Timur yang diduduki oleh lebih 4,200 pelampau Yahudi, termasuk Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.

Dalam satu kenyataan hari ini (25 Jul), Wisma Putra menyatakan kejadian pada Khamis (23 Jul) lalu berlaku di bawah perlindungan tentera Israel.

Menurut kementerian itu, tindakan menyerbu tempat suci ketiga umat Islam, menyekat jemaah Palestin serta menjalankan aktiviti keagamaan tanpa kebenaran di dalam kompleks berkenaan merupakan pelanggaran terhadap status quo sejarah dan undang-undang yang mentadbir tapak suci itu, lapor Astro Awani.

Wisma Putra turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung status Baitulmakdis Timur yang diduduki.

Menurut kenyataan itu lagi, provokasi berkenaan merupakan sebahagian daripada corak pelanggaran berterusan yang bertujuan menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa serta mengubah sejarah, kedudukan undang-undang dan demografi kawasan tersebut, lapor Astro Awani.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja mengancam keamanan dan kestabilan serantau, malah membelakangkan sensitiviti keagamaan umat Islam di seluruh dunia.

Malaysia turut menegaskan perpaduan yang tidak berbelah bahagi bersama rakyat Palestin serta sokongan terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, termasuk penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya.

Pencerobohan itu berlaku ketika Ben-Gvir mengunjungi Kompleks Masjid Al-Aqsa pada Khamis (23 Jul) sempena Tisha B'Av, lapor Astro Awani.

Beliau turut memuji kehadiran penganut Yahudi yang berdoa di kawasan berkenaan, meskipun aturan sedia ada hanya membenarkan umat Islam menunaikan solat di lokasi tersebut.

Kompleks itu, yang dikenali sebagai Temple Mount oleh penganut Yahudi, merupakan tapak paling suci dalam agama Yahudi dan lokasi ketiga paling suci bagi umat Islam.

Di bawah status quo yang berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu, kawasan itu ditadbir oleh sebuah yayasan Islam Jordan.

Penganut Yahudi dibenarkan melawat kawasan berkenaan, namun tidak dibenarkan berdoa di dalam kompleks tersebut.

Sebarang cadangan untuk mengubah aturan itu sebelum ini pernah mencetuskan bantahan dalam kalangan umat Islam dan menjadi antara punca ketegangan serta keganasan di kawasan berkenaan.
Sumber : Agensi berita/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita