Skip to main content

Dunia

Malaysia kata autogate '100%' pulih selepas kerosakan selama 2 hari, tiada tanda sabotaj

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kata autogate '100%' pulih selepas kerosakan selama 2 hari, tiada tanda sabotaj

Barisan panjang di salah satu pusat pemeriksaan darat di Johor pada 19 Julai 2025 selepas gangguan gate automatik (autogate) menjejas pelawat asing. (Gambar: Facebook/Woodlands Checkpoint Human Traffic)

Diterbitkan : 20 Jul 2025 07:04PM Dikemas Kini : 20 Jul 2025 09:15PM
SEPANG: Tiada unsur sabotaj atau serangan siber dikesan setakat ini sebagai punca gangguan sistem pagar automatik (autogate) untuk pelawat asing, kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata isu itu disyaki berpunca daripada gangguan integrasi data antara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan pangkalan data keselamatan sebuah agensi penguat kuasa antarabangsa yang menyebabkan proses semakan silang menjadi perlahan.

“Perkara itu (serangan siber) kita tidak lihat lagi pada masa ini. Biar kami lakukan kerja kami dan mengenal pasti apa sebenarnya yang berlaku,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang pada Ahad (20 Jul).

Encik Mohd Shuhaily berkata kesemua sistem pagar automatik untuk pelawat asing yang terjejas sebelum ini sudah kembali beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku akibat gangguan sistem berkenaan dan berusaha memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

Gangguan sistem pagar automatik dilaporkan berlaku sejak Jumaat lalu dan berlarutan sehingga petang Sabtu (19 Jul).

Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk KLIA Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Susulan itu, AKPS mengambil langkah bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu-pintu masuk terjejas.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita