Skip to main content

Dunia

Malaysia kalah saman kes rampasan 'haram' jam tangan Swatch berwarna pelangi

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kalah saman kes rampasan 'haram' jam tangan Swatch berwarna pelangi

Koleksi 'Pride' jam tangan Swatch di Selangor, Malaysia. (Gambar fail: Facebook/Fdaus Ahmad)

Diterbitkan : 25 Nov 2024 05:11PM Dikemas Kini : 25 Nov 2024 05:21PM
PUTRAJAYA: Pembuat jam Switzerland, Swatch, menang dalam saman terhadap Kementerian Dalam Negeri Malaysia berhubung rampasan 172 jam tangan pelangi yang didakwa menggalak nilai-nilai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sebagai memberi respons, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi hari ini (25 Nov) yang memerintahkan 172 jam tangan 'Pride Collection' yang dirampas tahun lalu, dikembalikan semula kepada syarikat pengimport dan penjual jam tangan, The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN bagaimanapun akan mendapatkan laporan penuh berkenaan penghakiman itu.

“Bila KDN melakukan penguatkuasaan dalam kes itu, jelas kami mengguna pakai akta yang ada dan bahagian penguat kuasa (mengikut) pertimbangan pada waktu itu.

“Apabila tindakan itu kemudian dicabar di mahkamah, dan kalau demikian keputusan mahkamah, KDN seharusnya menghormati keputusan itu, jika tidak itu dianggap penghinaan mahkamah, jadi saya kena dapatkan laporan penuh berkenaan dengan penghakiman  itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Awal dari itu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan The Swatch Group (Malaysia) selaku pemohon terhadap Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Encik Amarjeet berkata mahkamah turut membenarkan permohonan oleh pemohon untuk membatalkan notis penyitaan atas alasan rampasan itu dibuat tanpa waran dan ia tidak sah.

Pada 24 Jun 2023, The Swatch Group (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan KDN merampas 172 jam tangan termasuk siri 'Pride Collection' yang didakwa dikaitkan dengan komuniti LGBT.

Dalam permohonan itu, pemohon berkata rampasan kesemua jam tangan berkenaan tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut syarikat itu, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan serta ia tidak mempromosikan sebarang gejala seksual.

Pada 13 dan 14 Mei 2023, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang didakwa dikaitkan dengan LGBT.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita