Skip to main content

Dunia

Malaysia kaji naik taraf mesin pengimbas, perketat saringan kru penerbangan susuli kes dadah

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia kaji naik taraf mesin pengimbas, perketat saringan kru penerbangan susuli kes dadah

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk meneroka penggunaan peralatan pemeriksaan terkini, khususnya di pintu masuk utama negara. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Aug 2026 04:20PM
  • Kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan sedang meneliti penambahbaikan mesin pengimbas serta sistem keselamatan di lapangan terbang selepas insiden penyeludupan dadah oleh pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia.
  • Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kerajaan terbuka menggunakan teknologi pemeriksaan terkini dan akan mengkaji semula skop pemeriksaan bagasi serta kawalan keselamatan di KLIA.
  • Menteri Pelancongan Tiong King Sing menggesa saringan lebih ketat terhadap juruterbang dan kru kabin, termasuk laporan diri lebih awal sebelum bertugas dan kerjasama antara syarikat penerbangan, pihak berkuasa serta polis narkotik.
  • Malaysia Aviation Group telah mewajibkan saringan dadah ke atas semua juruterbang Malaysia Airlines sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan dan menjaga imej negara.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan meneliti usaha menambah baik mesin pengimbas di lapangan terbang di seluruh negara bagi memperkukuh keselamatan dan meningkatkan keberkesanan pemeriksaan bagasi.

Pada masa sama, sistem saringan dan pengurusan keselamatan kru penerbangan turut digesa supaya dikaji semula menyusuli penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada Ahad (9 Ogos), kerajaan Malaysia sentiasa terbuka untuk meneroka penggunaan peralatan pemeriksaan terkini sejajar dengan perkembangan teknologi, khususnya di pintu masuk utama negara.

Menurutnya, mesin pengimbas sedia ada di lapangan terbang ketika ini berfungsi dengan baik dan mempunyai keupayaan tinggi untuk mengesan barangan berbahaya.

Namun, beliau berkata kerajaan tidak boleh bergantung kepada teknologi sedia ada sahaja memandangkan terdapat pelbagai peralatan pemeriksaan lapangan terbang yang lebih canggih.

"Kita sentiasa terbuka jika terdapat idea untuk mengguna pakai segala jenis kelengkapan baharu," katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di Putrajaya.

Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian menyusuli beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia kebelakangan ini.

Ini termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lalu.

Encik Saifuddin berkata pemeriksaan bagasi di lapangan terbang merupakan tanggungjawab pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan dilaksanakan sejajar dengan piawaian pemeriksaan lapangan terbang antarabangsa di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Menurutnya, skop pemeriksaan bagasi juga akan diteliti supaya barangan terlarang, termasuk dadah yang cuba diseludup, dapat dikesan dengan lebih berkesan.

"Dari sudut skop pemeriksaan itu, tumpuan (ketika ini) lebih kepada elemen persenjataan berbanding kontraban. Ini antara aspek penambahbaikan yang kami kena tumpukan sesuai dengan kepakaran pegawai yang memeriksa," katanya.

Dalam pada itu, Encik Saifuddin berkata beliau bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin bagi meneliti pelaksanaan pelan komprehensif untuk menambah baik kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia diminta mengemukakan pelan tersebut bagi mengurangkan kejadian seumpama itu dari segi operasi, peralatan dan tenaga kerja.

Sebelum ini, Jemaah Menteri mengarahkan kedua-dua kementerian Malaysia itu mengemukakan pelan komprehensif untuk menambah baik kawalan keselamatan KLIA dalam tempoh dua minggu.

Arahan itu dibuat menyusuli kebimbangan bahawa insiden terbaharu boleh menjejaskan imej Malaysia selain menimbulkan persepsi mengenai kemungkinan terdapat kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

SARAN SARINGAN LEBIH KETAT BAGI JURUTERBANG, KRU KABIN

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Tiong King Sing menggesa pihak berkuasa penerbangan dan agensi berkaitan supaya mengkaji semula sistem saringan serta pengurusan keselamatan kru.

Beliau berkata insiden itu perlu dijadikan amaran serius untuk menutup sebarang kelompangan dalam sistem penerbangan negara selain memastikan keyakinan penumpang dan pelancong antarabangsa terhadap keselamatan penerbangan Malaysia terus terpelihara.

Encik Tiong berkata kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG) bahawa pembantu juruterbang berkenaan tidak mengendalikan pesawat pada hari kejadian tidak menjawab kebimbangan utama orang ramai.

"Kebimbangan penumpang bukan sama ada individu itu menerbangkan pesawat atau tidak, tetapi keputusan ujian air kencing yang positif serta kelemahan pemantauan yang terbongkar menerusi kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Encik Tiong menggesa pemeriksaan lebih ketat sebelum bertugas bagi juruterbang dan kru kabin dibangunkan serta dikuatkuasakan secara bersama oleh syarikat penerbangan, pihak berkuasa kawal selia dan polis narkotik.

"Sekiranya perlu, petugas boleh diarahkan melaporkan diri satu jam setengah hingga dua jam sebelum bertugas untuk menjalani saringan dan hanya dibenarkan memulakan tugas selepas melepasi saringan yang ditetapkan," katanya.

Encik Tiong berkata sistem keselamatan lapangan terbang turut perlu dikaji semula dari segi prosedur, peralatan dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang kelemahan dapat ditangani, sekali gus melindungi imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

Pada Jumaat (7 Ogos), MAG memaklumkan saringan dadah diwajibkan terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines.

MAG juga akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat terhadap semua juruterbang aktif sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.

Langkah itu menyusuli penahanan pembantu juruterbang Malaysia berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, pada 29 Julai kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita