Skip to main content

Dunia

Malaysia jangka lebih 2 juta kenderaan sehari akan guna lebuh raya sempena Aidiladha

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia jangka lebih 2 juta kenderaan sehari akan guna lebuh raya sempena Aidiladha

Kenderaan di lebuh raya Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 May 2025 10:58PM Dikemas Kini : 30 May 2025 11:01PM
KUALA LUMPUR: Syarikat penyenggara lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih dua juta kenderaan sehari akan berada di rangkaian lebuh rayanya pada hari-hari puncak sempena cuti perayaan Aidiladha, iaitu antara 5 hingga 6 Jun serta 8 dan 9 Jun ini.

Menurut kenyataan PLUS pada Jumaat (30 Mei), bagi mengagihkan trafik dan mengelakkan penumpuan kenderaan di lokasi-lokasi tertentu secara serentak, syarikat itu menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu pengguna merancang perjalanan lebih awal.

“Oleh itu, PLUS menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan masing-masing lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA, terutamanya bagi perjalanan pulang ke kampung halaman dari Lembah Klang antara 5 hingga 7 Jun, serta perjalanan pulang semula ke Lembah Klang antara 8 hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha,” menurut kenyataan itu.

PLUS memaklumkan, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA dengan memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) antara 5 Jun hingga 10 Jun. 

Menurut PLUS, inisiatif MyPLUS-TTA ini adalah sebahagian usaha PLUS untuk meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya semasa musim-musim perayaan berdasarkan data dan pola perjalanan pada musim-musim perayaan lalu.

Bagi melancarkan aliran trafik sempena perayaan, PLUS akan mengaktifkan Smart Lane di 30 lokasi tumpuan yang boleh dikenal pasti melalui Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) dan papan tanda khas.

Laluan itu hanya untuk kenderaan ringan, persendirian dan penumpang, dengan had kelajuan disarankan sekitar 60 kilometer sejam (km/j).

PLUS turut mengingatkan pengguna untuk mematuhi arahan petugas di lokasi serta tidak menggunakan lorong kecemasan di lokasi lain yang tidak mempunyai laluan Smart Lane bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan. 

Sepanjang tempoh 5 hingga 9 Jun, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyenggaraan akan dilakukan, kecuali bagi kes kecemasan, kemalangan atau pembaikan kritikal.

Dalam pada itu, PLUS turut mengambil beberapa langkah lain bagi membantu melancarkan lagi pergerakan orang ramai sepanjang musim perayaan, termasuk persediaan tambahan di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyediakan 26 unit tandas kabin tambahan di hentian sebelah dan plaza tol terpilih bagi meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya sebagai pelengkap kepada kemudahan tandas sedia ada di lokasi berkenaan.

PLUS turut memohon kerjasama orang ramai agar merancang perjalanan dengan sebaik-baiknya serta menggunakan kemudahan awam yang disediakan seperti tandas dan surau di plaza tol dan R&R berdekatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik dan merancang perjalanan melalui aplikasi PLUS, PUTRI, Pembantu Maya – PUTRI, X@plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, manakala untuk bantuan kecemasan hubungi PLUSLine 1800-88-0000 atau LPT2Line 1800-88-0220.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita