Skip to main content

Dunia

Malaysia jangka eksport durian akan lonjak kepada RM1.8 bilion jelang 2030

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Malaysia menganggarkan nilai eksport duriannya akan meningkat kepada RM1.8 bilion (S$540 juta) menjelang 2030.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad (25 Ogos), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia mendedahkan bahawa prestasi eksport durian negara bagi tempoh antara 2018 hingga 2022, cukup menggalakkan.

Nilai eksportnya bahkan melonjak 256.3 peratus, iaitu peningkatan sebanyak RM822.8 juta (S$246.8 juta).

Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatatkan nilai RM1.14 bilion (S$342 juta) yang juga tertinggi dalam sejarah.

Di samping itu, durian secara keseluruhan adalah penyumbang utama atau 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada nilai keseluruhan RM2.01 bilion (S$603 juta).

“China merupakan pasaran eksport utama buah durian Malaysia dengan nilai eksport RM887 juta (S$266 juta) pada 2022 iaitu tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke negara itu,” menurutnya.

Penghantaran durian segar pertama Malaysia ke China pada Sabtu (24 Ogos), menurut KPKM, juga selamat tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, pada hari ini (25 Ogos).

Penghantaran pertama durian eksport itu adalah hasil daripada Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar Dari Malaysia ke Republik Rakyat China yang dimeterai pada 19 Jun.

Durian segar itu diedarkan oleh 10 syarikat pengimport menerusi cawangan runcit di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Nanning. 
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita