Malaysia intai sumber tenaga baharu sedang harga minyak meningkat di tengah konflik Timur Tengah: DPM Fadillah
Seorang pemandu kenderaan mengisi minyak kenderaan dengan petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur. (Gambar Fail: CNA/Fadza Ishak)
Komennya dibuat sedang Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kira-kira separuh daripada bekalan minyak Malaysia datang dari Selat Hormuz, laluan air utama yang ditutup akibat konflik tersebut.
Encik Fadillah berkata pada Ahad (22 Mac) bahawa firma tenaga nasional Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mempunyai pelan luar jangka untuk memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil meskipun konflik berlaku, dengan Australia dan negara-negara Asia Pasifik lain antara pilihan yang dipertimbangkan sebagai pembekal alternatif.
“Petronas telah mengkaji pelbagai rancangan untuk mencari bekalan alternatif jika gas atau minyak tidak dapat dihantar melalui kawasan yang terjejas oleh konflik semasa,” katanya kepada wartawan, seperti yang dipetik oleh media tempatan.
“Mereka juga sedang memantau bekalan dari Australia dan negara-negara di rantau Asia Pasifik, semua alternatif ini sedang disediakan… Perancangan sedang berjalan dengan baik dan bekalan kami kekal stabil.”
Encik Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, menjawab soalan di satu acara di Kuching, Sarawak mengenai langkah-langkah untuk memastikan bekalan tenaga negara kekal terjamin susulan perang Iran.
Selat Hormuz, laluan perkapalan utama yang biasanya dilalui oleh kira-kira 20 peratus minyak dan gas dunia, ditutup oleh Iran selepas ia dilanda serangan udara Amerika Syarikat-Israel bulan lalu, yang menyebabkan harga minyak global meningkat.
Dalam catatan Facebook pada Ahad, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, berkata bahawa 50 peratus bekalan minyak Malaysia melalui selat itu, ketika beliau cuba menjelaskan mengapa Malaysia terjejas oleh lonjakan harga minyak walaupun merupakan negara pengeluar minyak.
“Walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak, kita sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada yang kita eksport,” katanya.
Dalam tempoh dua minggu lalu, kerajaan Malaysia menaikkan harga RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing sebanyak RM1.30 (S$0.42), RM0.60 (S$0.20) dan RM1.60 (S$0.52) seliter, lapor media tempatan.
Sekalipun demikian, kerajaan terus memberi subsidi RON95 kepada rakyat Malaysia yang layak dan diesel di Sabah dan Sarawak, satu langkah yang dianggarkan menelan belanja RM3.2 bilion (S$1.04 bilion) sebulan, meningkat daripada RM700 juta (S$227.63 juta) sebelum ini, menurut Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan pada 13 Mac.
Pembangkang menyeru langkah yang lebih luas untuk menangani potensi impak ekonomi.
Pengerusi Perikatan Nasional, Ahmad Samsuri Mokhtar, menggesa kerajaan membentuk majlis kebangsaan yang tidak berpihak bagi membincangkan campur tangan ekonomi.
Dengan konflik yang berterusan, beliau berkata rakyat Malaysia mula merasai kesan harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos logistik.
“Reaksi berantai ini tidak dapat dielakkan dan dalam beberapa bulan akan datang, negara mungkin menghadapi harga barangan asas dan makanan yang lebih tinggi, kos pengangkutan dan logistik yang lebih tinggi, serta utiliti dan perkhidmatan yang lebih mahal,” katanya, seperti yang ditukil dari platform media tempatan Free Malaysia Today pada Ahad.
Beliau menambah bahawa mungkin ada kesan yang lebih besar terhadap pasaran kerja kerana industri yang terjejas mungkin mengurangkan tenaga kerja mereka.
“Tanpa campur tangan dasar proaktif, risiko pemberhentian pekerja mungkin meningkat, terutamanya dalam pembuatan, logistik, dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk oleh kos bahan mentah yang lebih tinggi,” katanya.
Encik Ahmad Samsuri mencadangkan agar kerajaan menyatukan pertubuhan bukan kerajaan, tokoh akademik, pemain industri dan masyarakat sivil untuk secara kolektif menghasilkan penyelesaian bagi memastikan keputusan dibuat demi kepentingan kolektif negara dan bukannya pertimbangan politik yang cetek.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.