Skip to main content

Dunia

Malaysia intai rangkaian rel perkukuh peranan dalam perdagangan Eropah-Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia intai rangkaian rel perkukuh peranan dalam perdagangan Eropah-Asia

Minat terhadap pengangkutan rel melalui Malaysia meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Pelabuhan Darat Perlis menyaksikan minat yang meningkat daripada pengeksport.

Diterbitkan : 24 Mar 2026 03:00PM Dikemas Kini : 24 Mar 2026 03:07PM
KUALA LUMPUR: Sedang ketegangan geopolitik yang meningkat mengganggu laluan maritim tradisional, pemain logistik mendesak peralihan ke arah pengangkutan rel sebagai sebahagian daripada strategi perdagangan berbilang koridor yang lebih luas.

Di Asia Tenggara, Malaysia meletakkan dirinya sebagai titik utama yang menghubungkan rantau ini melalui rel dengan Asia Tengah dan Eropah.

Teras kepada cita-cita itu ialah Pelabuhan Darat Perlis, yang terletak berhampiran sempadan Thailand.

Dikendalikan oleh Mutiara Perlis, kemudahan itu muncul sebagai pelengkap kepada laluan maritim dengan menawarkan laluan alternatif darat bagi pergerakan kargo merentas dan melangkaui rantau ini.

Pelabuhan Darat Perlis terletak berhampiran sempadan Thailand.

"Apabila orang melihat Malaysia, orang hanya melihat pelabuhan laut kita, tetapi sebenarnya kita disambungkan melalui rel sehingga ke Eropah," kata Wan Zaheed Wan Mohamad, pengarah urusan kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mutiara Perlis.

"Jadi mengapa kita tidak meningkatkan kerterhubungan itu? Dengan kemajuan kita di sempadan, kita menambah lebih banyak kapasiti supaya kargo juga boleh singgah di pelabuhan Malaysia dan meneruskan perjalanan ke... Asia Tengah, misalnya, untuk menghantar minyak sawit kita."

Laluan sedemikian mendapat perhatian apabila syarikat mencari alternatif kepada perkapalan maritim, terutamanya selepas gangguan yang disebabkan oleh konflik di Timur Tengah, termasuk serangan ke atas kapal di laluan air utama seperti Selat Hormuz.

"Saya rasa itulah hala tuju untuk semua pemain, syarikat perkapalan global. Mereka perlu mempunyai alternatif. Mereka perlu mempunyai strategi pelbagai serampang, kerana keadaan tidak akan sama. Akan ada peperangan demi peperangan. Kita tidak akan pernah tahu. Ini adalah normal baharu," tambah Wan Zaheed.

RANGKAIAN REL DIPERLUAS KE SELURUH ASIA

Keterhubungan rel Malaysia diperkukuh dengan pelancaran ASEAN Express pada 2024, perkhidmatan kargo rentas sempadan yang menghubungkan Malaysia ke China melalui Thailand dan Laos.

Perkhidmatan itu merupakan sebahagian daripada rangkaian rel serantau yang lebih luas yang bersambung ke sistem China dan dilanjutkan ke barat melalui Jambatan Darat Eurasia.

Ini termasuk apa yang dipanggil "koridor tengah", yang melalui negara-negara Asia Tengah, Azerbaijan dan Georgia, sebelum bersambung ke Eropah melalui Turki.

Minat terhadap pengangkutan rel melalui Malaysia meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Pelabuhan Darat Perlis menyaksikan minat yang meningkat daripada pengeksport.

"Komoditi kami, minyak sawit, sangat popular. Kami telah menerima permintaan sebut harga dari Perlis, melalui trak atau rel di Thailand, sehingga ke Kazakhstan," kata Wan Zaheed.

Walaupun kargo rel lebih mahal daripada pengangkutan laut, ia menawarkan kelebihan ketara dari segi kelajuan. Penghantaran ke Eropah boleh tiba sehingga dua minggu lebih cepat berbanding laluan maritim tradisional.

CABARAN HAMBAT PERTUMBUHAN

Walaupun infrastruktur sedia ada wujud, keterhubungan rel di seluruh rantau ini masih belum mencapai potensi penuhnya.

Halangan operasi masih wujud, termasuk perbezaan piawaian tolok rel (rail gauge) antara negara, serta prosedur kastam yang berbeza-beza merentasi sempadan.

"Ia bukan sekadar keterhubungan fizikal, ia juga keterhubungan institusi," kata Wan Zaheed, merujuk kepada pelaksanaan rangka kerja yang tidak sekata seperti ASEAN Single Window, yang bertujuan menyelaraskan dokumentasi perdagangan rentas sempadan.

REBUT PERALIHAN ALIRAN PERDAGANGAN

Pihak berkuasa Malaysia sedang membuat persediaan untuk kemungkinan peralihan dalam corak perdagangan global.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata minggu lalu bahawa pelabuhan negara mesti bersedia untuk mengendalikan peningkatan jumlah kargo yang mungkin dialihkan dari hab utama Timur Tengah.

"Pelabuhan kita mesti merebut peluang dan bersedia untuk mengendalikan lebih banyak kargo yang biasanya melalui Jebel Ali, Pelabuhan Khalifa, Teluk Salalah dan Muscat," katanya.

Dengan laluan perkapalan tradisional menghadapi tekanan, Malaysia beralih kepada rangkaian rel dalam usaha untuk mengukir peranan yang lebih besar dalam aliran barangan antara Asia dan Eropah.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita