Malaysia, Indonesia & Thailand meterai rangka kerjasama CIQ
Malaysia, Indonesia dan Thailand pada Selasa (27 Mei) memeterai Rangka Kerjasama (FoC) dalam bidang Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di bawah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), di luar Sidang Puncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
(Gambar: BERNAMA)
Rangka kerjasama itu ditandatangani oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto, Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan Thailand Julapun Amornvivat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, lokasi rasmi sidang puncak itu.
FoC dalam bidang CIQ bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga negara dengan mempromosikan prosedur yang lebih cekap dan mesra perniagaan dalam pelaksanaan peraturan, undang-undang dan prosedur berkaitan untuk melancarkan pergerakan barangan dan individu rentas sempadan.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dan jaminan rantaian bekalan serantau dengan menubuhkan mekanisme kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta daya saing perdagangan di bawah kerangka IMT-GT.
Pemeteraian rangka kerja itu diadakan menjelang Sidang Puncak IMT-GT ke-16 yang turut diadakan di lokasi yang sama.
IMT-GT merupakan program kerjasama ekonomi serantau yang dilancarkan pada 1993 untuk merangsang pembangunan ekonomi di wilayah dan negeri yang terlibat dalam tiga negara berkenaan.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan peluang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pengukuhan hubungan infrastruktur dan pengaturan institusi, ke arah mencapai visi serantau yang bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.