Malaysia gesa ASEAN tingkatkan kesiapsiagaan ketika risiko jerebu rentas sempadan meningkat
Malaysia menggesa semua negara anggota ASEAN meningkatkan kesiapsiagaan bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan, termasuk mempertingkat pemantauan titik panas dan penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka. (Gambar: BERNAMA)
- Malaysia melalui Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggesa negara ASEAN bertindak kolektif menghadapi risiko jerebu rentas sempadan.
- Gesaan ini disampaikan secara rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN pada 21 Ogos, dengan penekanan kepada pencegahan, pemantauan dan kesiapsiagaan nasional.
- Malaysia menekankan pentingnya pengawasan titik panas, penguatkuasaan larangan pembakaran terbuka dan operasi pemadaman kebakaran yang cekap.
- Fenomena El Nino dan cuaca kering dijangka meningkatkan risiko jerebu, justeru kerjasama serantau dan peranan Sekretariat ASEAN sangat diperlukan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu perlu dilaksanakan menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan prinsip Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).
Beliau berkata semua negara anggota perlu meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi.
Ini termasuk mempertingkat pengawasan titik panas, memperkasakan penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka serta memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang cekap.
Encik Arthur berkata pendirian itu disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn pada Jumaat (21 Ogos).
Menurut beliau, walaupun kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota masing-masing, risiko jerebu rentas sempadan menuntut kesiapsiagaan bersama serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau.
"Pelaksanaan intervensi awal, pertukaran maklumat secara tepat serta koordinasi serantau yang erat merupakan elemen asas dalam menangani isu jerebu secara berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (22 Ogos).
EL NINO DIJANGKA BERANSUR MENINGKAT
Encik Arthur berkata pemantauan perkembangan cuaca semasa menunjukkan keadaan kering berterusan di kawasan selatan rantau ASEAN menyebabkan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu.
"Keadaan ini berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Nino yang dijangka beransur meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.
Malaysia turut mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC).
Menurut Encik Arthur, pusat itu membantu memudah cara penyebaran maklumat, menyelaraskan langkah kesiapsiagaan antara negara anggota serta memperkukuh kerjasama di bawah AATHP.
"Malaysia yakin bahawa komitmen padu dan tindakan proaktif seluruh negara anggota ASEAN akan memperkasakan ketahanan serantau dalam mendepani cabaran iklim, seterusnya memelihara alam sekitar yang mampan, sejahtera dan bebas jerebu demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.