Malaysia gagalkan pengedaran dadah bernilai RM37.5 juta; dadah 600 kilogram dirampas
Polis Malaysia menggagalkan enam aktiviti pengedaran dadah bernilai RM37.5 juta melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 600 kilogram. (Gambar: BERNAMA)
- Polis Selangor berjaya menggagalkan enam cubaan pengedaran dadah bernilai RM37.5 juta melalui beberapa serbuan di Selangor.
- Seramai 12 individu termasuk sembilan warga asing berusia 22 hingga 54 tahun ditahan dalam operasi pada 10, 14, 15 dan 17 Ogos.
- Rampasan melibatkan kira-kira 600 kilogram pelbagai jenis dadah di KLIA, Sepang dan Taman Melawati, Ampang, hasil kerjasama dengan MAHB dan AKPS.
- Suspek disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen, dengan beberapa telah didakwa di mahkamah.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata pihaknya menahan 12 individu termasuk sembilan warga asing berusia 22 hingga 54 tahun dalam serbuan itu.
Beliau berkata pada 10 dan 15 Ogos, polis menggagalkan empat cubaan mengedar dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang membabitkan 96.151 kg bunga ganja dan 7.725 kg kokain.
“Kejayaan ini hasil pemeriksaan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) terhadap enam bagasi milik suspek.
“Tangkapan pada 10 Ogos membabitkan seorang wanita warga asing manakala dua lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan pada 15 Ogos,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor (JSJN) di sini pada Rabu (19 Ogos).
Encik Shazeli berkata operasi pada 17 Ogos menahan seorang lelaki dan wanita dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah di sebuah premis di Taman Melawati, Ampang.
Beliau berkata serbuan menemukan 243 bungkusan plastik mengandungi syabu seberat 252.7 kg dan 243 bungkusan kertas minyak mengandungi 88 kg dadah heroin dengan anggaran nilai keseluruhan RM19.7 juta (S$6.1 juta).
Polis juga menyita sebuah kereta dan wang tunai RM704 (S$221.20) dipercayai hasil pengedaran dadah dalam serbuan itu.
Encik Shazeli berkata kesemua suspek masih direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam pada itu, beliau berkata empat lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah premis di Ampang kerana disyaki terlibat mengedar dadah dengan 150 bungkusan plastik teh Cina berisi serbuk dan ketulan mampat mengandungi 155 kg syabu berjumlah RM7.8 juta (S$2.4 juta) dirampas.
“Tiga suspek dalam kes ini telah dituduh mengikut Seksyen 39B ADB 1952 pada 14 Ogos, dua suspek dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak mempunyai dokumen yang sah manakala seorang lagi dibebaskan kerana tidak cukup elemen pembuktian penglibatan dalam sindiket ini,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.