Skip to main content

Dunia

Malaysia dijangka jimat RM2 bilion setahun menerusi BUDI MADANI Diesel - Amir Hamzah

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia dijangka jimat RM2 bilion setahun menerusi BUDI MADANI Diesel - Amir Hamzah

Jumlah subsidi petrol melalui BUDI95 melonjak daripada RM700 juta, yang diperuntukkan sebelum perang, kepada sekitar RM7 bilion sebulan sekarang. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Jun 2026 09:37PM Dikemas Kini : 22 Jun 2026 09:38PM
  • Kerajaan Malaysia memperkenalkan BUDI MADANI Diesel bermula Julai, menawarkan harga subsidi RM2.10 seliter untuk pemilik kenderaan diesel persendirian.
  • Langkah ini bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi akibat penyeludupan dan penyalahgunaan, serta menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun.
  • Subsidi disalurkan secara bersasar melalui pengesahan MyKad dan had kuota bulanan, menggantikan bantuan tunai sedia ada.
  • Pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan diteruskan di seluruh negara, terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan, bagi mengekang ketirisan bahan api bersubsidi.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter mulai Julai ini dijangka membawa penjimatan hingga RM2 bilion (S$623 juta) setahun menerusi pengurangan ketirisan subsidi bahan api di dalam negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang berhak, selain menjamin kestabilan bekalan diesel di dalam negara.

"Melalui penyasaran subsidi ini, kita mampu menjimatkan hingga RM2 bilion setahun. Penjimatan ini akan dipulangkan kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel kepada RM2.10 (S$0,65) seliter," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin (22 Jun).

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Encik Amir Hamzah berkata sebelum ini, tanggungan subsidi petrol dan diesel kerajaan adalah kira-kira RM800 juta (S$249 juta) sebulan, tetapi ia meningkat mendadak kepada hampir RM4.7 bilion (S$1.46 bilion) pada Mac dan RM4.9 bilion (S$1.52) pada April susulan lonjakan harga minyak dunia.

Pada masa sama, beliau berkata penggunaan diesel turut meningkat luar biasa daripada kira-kira 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan, sekali gus menunjukkan wujud ketirisan yang serius.

Encik Amir Hamzah berkata ketirisan itu antaranya berlaku melalui penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan saluran subsidi, apabila pihak yang sepatutnya membeli diesel tidak bersubsidi mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di stesen minyak.

Beliau berkata situasi itu bukan sahaja memberikan tekanan kepada fiskal kerajaan, malah boleh mengganggu dan mengancam bekalan diesel di dalam negara.

Di Sabah dan Sarawak, katanya, penggunaan diesel juga menunjukkan pola luar biasa apabila penggunaan semasa hampir dua bilion liter setahun berbanding anggaran keperluan sebenar kira-kira satu bilion liter setahun.

Beliau berkata situasi itu menunjukkan terdapat ketirisan hingga satu bilion liter setahun yang perlu ditangani secara lebih berkesan.

Sehubungan dengan itu, Encik Amir Hamzah berkata kerajaan memperkenalkan BUDI Diesel menggunakan mekanisme pengesahan MyKad seperti BUDI RON95 bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi.

"Sebanyak 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia," katanya.

Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel individu, bantuan tunai bulanan RM400 (S$124.60) akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak.

Katanya, penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu itu secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan.

"Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai ini, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia," katanya.

Encik Amir Hamzah juga berkata kerajaan menetapkan had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan bagi individu yang layak di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), dengan kuota itu boleh digunakan secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.

Beliau berkata pendekatan itu memastikan subsidi diberikan kepada penerima yang layak berdasarkan penggunaan sebenar mereka tanpa mengira sama ada bahan api yang digunakan ialah diesel atau RON95.

Beliau berkata langkah itu juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mereka mengikut keperluan bulanan masing-masing.

Encik Amir Hamzah berkata bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori itu.

“Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan,” katanya.

Pelaksanaan subsidi bersasar menerusi penggunaan MyKad dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berjaya mengurangkan ketirisan bahan api bersubsidi walaupun masih terdapat beberapa aspek yang masih perlu diperkukuhkan.

Memetik statistik Ops Tiris 4.0,Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata ketirisan bahan api bersubsidi masih menjadi cabaran kerajaan terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, sepanjang operasi bersepadu yang dilaksanakan dari 16 Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 71,601 pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan telah dijalankan menerusi kerjasama rentas agensi penguatkuasaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 869 kes dikesan di seluruh negara, dengan 554 kes melibatkan bahan api. Daripada 554 kes itu, sebanyak 291 kes (bahan api) melibatkan kes di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Encik Armizan berkata walaupun ketirisan masih berlaku di Semenanjung Malaysia menerusi pelbagai modus operandi oleh pihak tidak bertanggungjawab, pelaksanaan sistem penyasaran subsidi telah banyak membantu kerajaan mengurus risiko serta menutup sebahagian besar ruang ketirisan yang wujud.
Sumber : Bernama/KH/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita