Malaysia dicengkam gelombang penafian, dakwaan berhubung rancangan 'Langkah Dubai' untuk jatuhkan kerajaan Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof selepas sebuah mesyuarat Kabinet pada 8 Feb 2023. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
Terutama sekali di TikTok, platform yang biasanya digunakan untuk menyebarkan propaganda politik di Malaysia, pencipta kandungan telah menulis tentang frasa yang sama: Langkah Dubai.
Pada 29 Dis, khabar-khabar angin tersebut bertiup kencang apabila seorang pegawai kerajaan mengesahkan di media sosial kewujudan "Langkah Dubai", dengan mendakwa bahawa ia melibatkan pemimpin pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) dan para pemimpin parti lain yang tidak berpuas hati dengan kerajaan perpaduan dan cara kepimpinan PM Anwar.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti kerajaan itu Ismail Yusop dalam satu catatan Facebook berkata mesyuarat itu diadakan bagi mengagihkan tugas kepada para pegawai yang akan mengenal pasti Ahli Parlimen kerajaan yang boleh dipujuk untuk berpaling tadah.
Sejak itu, ia telah mencetuskan penafian, perdebatan, dan tikam balas oleh para ahli politik pelbagai kem mengenai sama ada mesyuarat di Dubai itu telah diadakan dan jika tidak, siapa yang menyebarkan dakwaan tersebut dan mengapa.
Meskipun perbahasan mengenai Langkah Dubai itu masih dianggap sebagai satu tuduhan, terdapat langkah serupa sebelum ini.
Pada 2020, "Langkah Sheraton" menjatuhkan pentadbiran Mahathir Mohamad dari dalam. Sebahagian daripada rancangan tersebut dilaporkan mula dilakarkan di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.
Langkah tersebut menyaksikan lebih 30 Ahli Parlimen dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah berpaling tadah, menjatuhkan kerajaan itu setelah ia mentadbir selama hanya 22 bulan.
Meskipun undang-undang anti melompat parti telah dikuatkuasakan bagi membendung pergerakan tidak demokratik yang serupa, ia tidak menghalang seluruh blok parti daripada meninggalkan gabungan kerajaan. Ia juga tidak menghalang percubaan yang sama.
Pada Januari 2023, timbul berita mengenai rancangan untuk menggulingkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan akhirnya menyingkirkan kerajaan perpaduan itu.
Ini timbul selepas seorang blogger mendakwa dua Naib Presiden UMNO adalah sebahagian daripada sekumpulan pemimpin yang bertemu di London untuk merancang kejatuhan Encik Ahmad Zahid, menyebabkan ia digelar sebagai "Langkah London".
Para pengamat politik memberitahu Mediacorp bahawa mesyuarat Dubai - jika ia benar-benar berlaku - kemungkinan besar dicetuskan sebagai tindak balas terhadap tindakan keras terbaharu Encik Anwar terhadap kes rasuah dan melibatkan individu-individu yang takut akan disiasat dengan teliti.
Mereka bagaimanapun berpendapat bahawa langkah sedemikian tidak mungkin berjaya melainkan para ahli Parlimen di blok kerajaan, terutama daripada 'kingmaker' Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh dipujuk untuk berpaling tadah secara beramai-ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.