Skip to main content

Dunia

Malaysia dibantu beberapa negara untuk bebaskan aktivis kemanusiaan ditahan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia dibantu beberapa negara untuk bebaskan aktivis kemanusiaan ditahan Israel

Petikan gambar dari video yang disiarkan secara langsung pada 2 Okt 2025 menunjukkan tentera laut Israel menaikki kapal 'Oxygono' yang sedang menuju Gaza. (Gambar: Global Sumud Flotilla/AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2025 05:41PM
SEPANG: Malaysia menerima bantuan daripada beberapa negara, termasuk negara anggota ASEAN, dalam usaha membebaskan aktivis kemanusiaan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).  

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata kerajaan kini menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa yang mempunyai kedutaan di Israel termasuk Amerika Syarikat, Turki, Jordan dan Mesir bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang masih dalam tahanan.

“Kita memang dah jangkakan keadaan begini akan berlaku. Jadi kita telah berbincang sesama rakan-rakan khususnya daripada ASEAN. (Memandangkan) Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Israel, kita minta supaya negara-negara rakan memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan,” jelasnya dalam satu sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) pada Sabtu (4 Okt).

Encik Mohamad menambah, setakat ini, Jordan dan Turki sudah memberi jaminan untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia sebaik sahaja mereka dibebaskan.

Amerika Syarikat melalui timbalan menteri luarnya turut menyatakan komitmen untuk membantu melalui kedutaannya di Tel Aviv dan bersedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan rakyat Malaysia.

Semua misi diplomatik Malaysia di Jordan, Turki, Kaherah dan Algeria, dedah Encik Mohamad lagi, kini berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan dan sokongan logistik, sekiranya rakyat Malaysia dibebaskan melalui mana-mana pintu sempadan.

"Kita tidak tahu (laluan mana tahanan akan dilepaskan) sebab ini terpulang kepada pihak rejim Zionis Israel untuk menghantar mereka balik," katanya.

Encik Mohamad turut memaklumkan bahawa komunikasi antara barisan peguam yang mewakili GSF dan aktivis tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana Israel sedang menyambut perayaan 'Yom Kippur', yang juga cuti umum, sekali gus menyebabkan pejabat kerajaan dan diplomatik ditutup. Situasi ini menangguhkan sementara proses diplomasi dan rundingan untuk membawa pulang aktivis GSF. 

"Jangan risau, kerajaan sentiasa memantau keadaan mereka secara teliti. Kita harap hari Isnin nanti, bila pejabat dibuka semula, kita akan dapat berhubung semula. Tapi hubungan kita melalui perantaraan negara sahabat sentiasa dalam keadaan yang amat baik,” jamin Encik Mohamad.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol perpaduan dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF sudah ditahan dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita