Skip to main content

Dunia

Malaysia daftar & padankan pelarian yang layak dengan pekerjaan di tengah kekurangan tenaga kerja

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia daftar & padankan pelarian yang layak dengan pekerjaan di tengah kekurangan tenaga kerja

Pintu masuk ke depoh tahanan imigresen yang menempatkan pelarian di Bidor, Perak, Malaysia, pada 2 Februari 2024. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang mempergiat usaha untuk menguruskan lebih 200,000 pelarian dan pencari suaka yang menetap di negara itu, dengan individu yang layak bakal dipadankan dengan pekerjaan sementara dalam sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja.

Sejak awal tahun ini, pemerintah mendaftarkan para pelarian di bawah fasa perintis program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang mengumpulkan data biometrik dan peribadi serta menyimpannya dalam pangkalan data berpusat.

Menurut pihak berkuasa, sistem pendaftaran itu akan membantu mengawal selia populasi pelarian, memperkukuh pemantauan keselamatan serta meningkatkan kebajikan mereka.

PELARIAN DIPADANKAN DENGAN PEKERJAAN

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bulan lalu berkata lebih 4,000 individu sudah diproses di bawah program tersebut setakat ini.

Pangkalan data tersebut boleh menyokong inisiatif pemadanan pekerjaan pada masa hadapan bagi para pelarian berusia antara 20 hingga 40 tahun, dengan menghubungkan mereka dengan peluang pekerjaan dalam sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja, termasuk pengilangan, pembinaan, pertanian, perladangan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, Encik Saifuddin menegaskan, inisiatif yang akan dilaksanakan di depoh imigresen seluruh negara mulai bulan ini bukanlah laluan untuk mendapatkan status penduduk tetap.

Majikan yang mengambil mereka bekerja mesti mematuhi undang-undang buruh sedia ada, termasuk membayar gaji minimum bulanan sekitar AS$430 (S$549.87) serta menyediakan tempat tinggal yang sesuai.

Para pemain industri berkata aturan tersebut boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, yang lazimnya lebih mahal.

Pengarah syarikat pengilangan penyambung elektronik Amphenol TCS Malaysia, Lee Tiong Li, berkata: “Saya rasa kita perlu menunggu banyak perkara diperjelaskan terlebih dahulu. Sudah tentu ia sangat penting untuk memastikan ia dilaksanakan secara sah.”

Pemerintah juga akan terus memperkukuh pengurusan pelarian dan pencari suaka menerusi penyelarasan yang lebih rapat antara agensi bagi melindungi keselamatan negara.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan,” kata Encik Saifuddin. “Kita perlu mengimbangi antara pertimbangan kemanusiaan dan keselamatan. Itulah pertimbangan utama ketika ini.”

MANFAAT EKONOMI DIJANGKA

Para pelarian yang diberi akses sah untuk bekerja di Malaysia boleh meningkatkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) negara itu sebanyak AS$750 juta (S$959.07 juta) dalam tempoh lima tahun serta menjana lebih AS$12 juta (S$15.35 juta) hasil cukai setiap tahun, menurut satu kajian oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), sebuah badan pemikir Malaysia.

Sementara itu, para aktivis hak asasi manusia menggesa pihak berkuasa supaya memastikan ketelusan dan melindungi pelarian daripada eksploitasi.

Pengerusi bersama Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR), Charles Santiago, berkata pihak berkuasa mesti membanteras rasuah, sambil memberi amaran bahawa ejen buruh yang kini membawa masuk pekerja asing boleh dengan mudah menyesuaikan kaedah mereka dan terus beroperasi dengan cara yang berbeza.

“Di sinilah penguatkuasaan dan pemerintah perlu benar-benar tegas,” tambah beliau.

Golongan aktivis turut berkata bahawa pelarian yang bersedia untuk bekerja tidak seharusnya berdepan dengan sekatan yang tidak wajar dalam mendapatkan peluang pekerjaan.

Aktivis hak pelarian Aslam Abd Jalil berkata pelarian seharusnya diberikan status sah menerusi proses pendaftaran yang mudah, sekali gus membolehkan mereka memperoleh dokumen yang membolehkan mereka bekerja dalam sektor-sektor yang sesuai dengan kemahiran dan keupayaan masing-masing.

“Ia situasi yang saling menguntungkan semua pihak. Kita memerlukan mereka untuk bekerja di negara ini dan mereka juga memerlukan pendapatan serta sumber mata pencarian,” tambah beliau.

Perkembangan itu berlaku sedang usaha untuk menempatkan semula pelarian di Malaysia ke negara ketiga semakin perlahan, sebahagiannya disebabkan oleh pengurangan kuota penempatan semula oleh negara-negara destinasi.

Cabaran itu juga dijangka bertambah buruk sedang agensi-agensi kemanusiaan berdepan kekurangan dana yang menjejaskan program sokongan buat para pelarian.

“Kita perlu berdepan realiti bahawa perkara ini berpotensi menjadi masalah yang serius bagi Malaysia,” kata Encik Saifuddin.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita