Skip to main content

Dunia

Malaysia catat lebih 2,000 kes buli, 3,570 kes jenayah di sekolah pada 2025

Sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan tahun lalu dengan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia catat lebih 2,000 kes buli, 3,570 kes jenayah di sekolah pada 2025
Lebih 2,000 kes buli dan 3,570 kesalahan jenayah direkodkan di institusi-institusi pendidikan di Malaysia pada tahun 2025. (Gambar hiasan: Bernama)
Diterbitkan : 26 Feb 2026 12:37PM
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan tahun lalu dengan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes sekolah menengah, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM menerusi jawapan bertulis di portal Parlimen mendedahkan, bagi tempoh sama sebanyak 3,570 kes kategori salah laku jenayah dicatatkan membabitkan 457 kes sekolah rendah dan 3,113 kes sekolah menengah.

KPM juga menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku disiplin termasuk gejala buli dan jenayah yang berlaku di institusi-institusi pendidikan.

“Antara tindakan disiplin yang telah diambil oleh pihak sekolah termasuk memberi amaran lisan, mengeluarkan amaran bertulis, mengenakan kelas tahanan, melaksanakan hukuman rotan, menggantung persekolahan dan membuang murid dari sekolah.

“Tindakan disiplin yang lebih tegas ini diambil berdasarkan tahap keseriusan kes yang berlaku,” menurut jawapan bertulis KPM bertarikh 24 Februari, bagi menjawab soalan V Ganabatiru (PH-Klang) berhubung jumlah keseluruhan kes buli dan jenayah yang direkodkan di sekolah di seluruh negara itu pada tahun lalu dan tindakan pihak kementerian.

KPM turut memaklumkan bahawa 2024 merekodkan bilangan kes buli tertinggi, iaitu 7,681 kes melibatkan 1,992 kes di sekolah rendah dan 5,689 kes di sekolah menengah.

Menurut KPM, bilangan itu direkodkan berikutan hasil peningkatan tahap kesedaran dan pematuhan pihak sekolah, khususnya dalam kalangan murid, guru dan pentadbir sekolah terhadap pelaksanaan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023 berhubung salah laku buli.

“KPM mempunyai mekanisme yang jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah, antaranya SPI Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan SPI Bilangan 7 Tahun 2011: Pelaksanaan SOP 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid,” menurut KPM.

Selain itu, audit keselamatan dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin isu keselamatan ditangani dengan berkesan serta memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) sekolah dipatuhi dengan 1,758 sekolah diaudit setakat 19 November lalu.

Di samping itu, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuh melalui penempatan baharu 523 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah seluruh negara pada 2025.

“KPM memperuntukkan RM3 juta (S$980 ribu) bagi pemasangan CCTV di 200 buah asrama dengan tujuan memantau kawasan berisiko. Projek tersebut sudah siap sepenuhnya pada 19 November 2025.

“Bagi 2026, KPM turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta (S$1.63 juta) bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama lain dan pelantikan 600 orang pembantu warden asrama (MyPWA) khususnya bagi membantu pemantauan pada waktu malam,” menurut KPM.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita