Skip to main content

Dunia

Malaysia buka semula kedutaan di Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia buka semula kedutaan di Iran

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 28 Sep 2025 04:07PM Dikemas Kini : 28 Sep 2025 04:09PM
PUTRAJAYA: Kedutaan Malaysia di Iran yang ditutup sementara menyusuli konflik melibatkan negara itu dengan Israel pada Jun 2024, kini kembali beroperasi seperti biasa, kata Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan pada Ahad (28 Sep).

Beliau berkata Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar, juga sudah kembali bertugas di Tehran selepas pulang ke tanah air seketika melalui penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ketika konflik tercetus.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran tarikh sebenar kedutaan itu kembali dibuka dan beroperasi.

“Penutupan sementara (kedutaan) itu telah pun selesai. Duta Besar kita sudah kembali ke Tehran dan operasi berjalan seperti biasa. Kita berharap tiada lagi konflik berlaku.

“Sekiranya berlaku ketidaktentuan di Asia Barat, kesannya bukan sahaja dirasai di Asia Tengah, malah seluruh dunia termasuk Malaysia turut menerima tempiasnya walaupun berada jauh,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025."

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai status terkini Kedutaan Malaysia di Iran yang ditutup sementara susulan ketegangan memuncak antara negara itu dan Israel selepas serangan udara tanpa provokasi rejim Zionis ke atas wilayah republik berkenaan pada Jun.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.

Ekoran itu, Kementerian Luar mengambil keputusan membawa pulang rakyat Malaysia termasuk Duta Besar, kakitangan kedutaan dan keluarga mereka ke tanah air melalui penerbangan melibatkan laluan Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand sebelum kembali ke Malaysia.

Malaysia menubuhkan Kedutaan di Tehran pada 1970, manakala Iran membuka Kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita