Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia berkas 7 individu susuli serangan balai polis Johor didalangi Jemaah Islamiyah

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata suspek datang ke balai polis untuk mendapatkan bekalan senjata api; siasatan mendapati beg digunakannya ada "shield"(perisai), kain dan kertas untuk bertempur dengan polis.  

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia berkas 7 individu susuli serangan balai polis Johor didalangi Jemaah Islamiyah
Diterbitkan : 17 May 2024 01:50PM Dikemas Kini : 17 May 2024 04:35PM

ULU TIRAM, Johor: Polis Malaysia memberkas tujuh individu sedang mereka memburu lebih 20 individu lain yang dipercayai merupakan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) menyusuli serangan di sebuah balai polis di Johor Bahru pada awal pagi tadi (17 Mei).

Serangan di balai polis Ulu Tiram sekitar pukul 2.30 pagi tadi mengorbankan dua pegawai polis dan menyebabkan seorang lagi cedera.

Bercakap di sidang media di luar balai polis itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata suspek, berusia 21 tahun itu datang ke balai polis dengan bersenjatakan parang.

Dia menyerang seorang pegawai polis dekat pintu masuk balai itu, lalu merampas pistolnya.

Satu kejadian berbalas tembakan berlaku antara suspek dan pegawai polis, yang menyebabkan seorang pegawai terbunuh, kata Encik Razarudin. Suspek juga ditembak mati.

Encik Razarudin berkata pihak polis kemudian menggeledah rumah suspek dan menemui bukti bahawa dia adalah anggota JI.

"Kami juga mendapati suspek telah membuat persediaan rapi, beg yang digunakan  ada "shield" (perisai), kain dan kertas untuk bertempur dengan polis," kata Encik Razarudin.

"Daripada apa yang kami lihat, individu itu ke balai polis untuk mendapatkan (bekalan) senjata api bagi menjalankan agendanya, yang kami belum pasti lagi buat masa ini. Saya telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mengenal pasti semua anggota JI di Johor dan dipanggil bagi disoal siasat," katanya.

Encik Razarudin menambah lebih 20 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan JI diberkas untuk disoal siasat, termasuk lima anggota keluarga suspek berusia antara 19 dengan 62 tahun.

Menurutnya, lagi dua orang yang membuat aduan polis ketika itu juga diberkas kerana katanya "tidak masuk akal" untuk mereka membuat aduan bagi kejadian yang didakwa berlaku dua tahun lalu, sekali gus mencadangkan mereka mungkin terbabit dalam serangan itu untuk mengalihkan perhatian polis.

Encik Razarudin berkata tahap keselamatan dipertingkatkan di balai polis, Istana Negara serta tempat kediaman rasmi Ketua Menteri Johor.

Mayat dua pegawai polis dan suspek kejadian dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat dan bagi siasatan lanjut.

Pegawai polis yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan, lapor Bernama.

Jemaah Islamiyah pernah melakukan serangan bom di Indonesia dalam dua serangan yang berbeza pada tahun 2002 dan di Jakarta pada 2009.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan