Skip to main content

Dunia

Malaysia berdepan kepadatan kenderaan, kata Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia berdepan kepadatan kenderaan, kata Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat daripada Presiden Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah di pejabatnya di Putrajaya. (Gambar: Facebook/Zahid Hamidi)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara yang menyaksikan sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.

"Ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat, didorong oleh jumlah penjualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit, tertinggi dalam sejarah negara.

"Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat," katanya, seperti dinukil BH Online.

Encik Ahmad Zahid berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Presiden Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Mohd Azharuddin Mat Sah di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam pada itu, kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25 peratus, jauh berbeza dibandingkan beberapa negara maju, kata Encik Ahmad Zahid.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata negara jiran Singapura mencapai kadar penggunaan pengangkutan awam 67 peratus, Seoul (63 peratus) dan Tokyo (73 peratus).

"Perubahan ini memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan antara sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran yang menyeluruh.

"Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa," katanya.

Sehubungan itu, Encik Ahmad Zahid yakin dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti Prasarana dan kerjasama semua pihak berkepentingan, mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, mampan dan cekap.

"Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian," katanya, menurut BH Online.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita