Skip to main content

Dunia

Malaysia bentang pelan 5 tahun baharu; pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan

Malaysia menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, di tengah-tengah ketidaktentuan global, meskipun kerajaan berikrar untuk meningkatkan akses bagi perumahan mampu dimiliki, jagaan kesihatan dan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia bentang pelan 5 tahun baharu; pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan

(Dari kiri) Menteri Kewangan Kedua Malaysia Amir Hamzah Azizan, Timbalan Perdana Menteri Pertama Zahid Hamidi, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Kedua Fadillah Yusof memegang salinan Rancangan Malaysia Ke-13 di lobi Parlimen pada 31 Julai 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 31 Jul 2025 11:39PM
KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, di tengah-tengah ketidaktentuan global, meskipun kerajaan berikrar untuk meningkatkan akses bagi perumahan mampu dimiliki, jagaan kesihatan dan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyatnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan unjuran pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) itu semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dinanti-nantikan di Parlimen pada Khamis (31 Jul).

Sasaran pertumbuhan itu adalah sedikit lebih rendah berbanding lima hingga enam peratus setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Bagi tempoh 2021 hingga 2024, Malaysia mencatatkan purata pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 5.2 peratus.

Encik Anwar berkata landskap ekonomi global sudah berubah akibat dunia yang semakin bergolak, termasuk konflik berpanjangan dan perang tarif Amerika Syarikat.

“Kita juga perlu berwaspada terhadap potensi kenaikan harga barangan dan peningkatan kos sara hidup, serta kesannya terhadap peluang pekerjaan dan jaminan makanan akibat krisis ini,” kata beliau ketika membentangkan pelan pembangunan lima tahun negara itu.

“Inilah kenyataan yang sukar yang perlu kita hadapi dalam dunia hari ini. Langkah berani untuk melakukan perubahan mesti diambil agar ekonomi negara kekal kukuh dan kesejahteraan rakyat tidak terjejas,” kata Encik Anwar.

Kerajaan turut menjangkakan kadar purata inflasi antara dua hingga tiga peratus setahun antara 2026 hingga 2030, dengan sasaran pertumbuhan eksport sebanyak 5.8 peratus setahun.

RMK13 merupakan pelan pertama seumpamanya yang dibentangkan di bawah kerajaan campuran pimpinan Encik Anwar, yang terdiri daripada empat gabungan utama dan 18 parti politik.

PERUMAHAN MAMPU DIMILIKI DAN PERANCANGAN JAGAAN KESIHATAN

Pelan itu bertujuan menangani isu-isu utama yang dihadapi rakyat Malaysia, termasuk kos sara hidup, serta tanggapan berhubung kekurangan perubahan yang mendorong ribuan orang turun ke jalan raya bulan ini bagi menuntut peletakan jawatan Encik Anwar.

Sebagai contoh, kerajaan menyasarkan agar 70 peratus daripada graduan mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan mereka menjelang 2030.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding keadaan semasa. Menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang dikeluarkan pada 2024, sepertiga daripada graduan di Malaysia bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka.

Kerajaan juga menetapkan sasaran Pendapatan Negara Kasar (GNI) tahunan sebanyak RM77,000 (S$23,322.38) per kapita dan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM12,000 (S$3,634.66) sebulan menjelang 2030.

Setakat 2024, kerajaan menyatakan GNI berada pada sekitar RM54,800 (S$16,598.26), manakala purata pendapatan isi rumah pada 2022 hampir RM8,500 (S$2,574.55), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kerajaan juga menyasarkan sebanyak 500,000 unit rumah mampu dimiliki dibina oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pemaju swasta dari 2026 hingga 2030.

Dari segi kos jagaan kesihatan, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan yang perlu ditanggung kepada 32 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan kesihatan, berbanding 36 peratus pada masa ini.

Encik Anwar turut berkata bahawa kerajaan menyasarkan pengurangan jumlah pekerja asing daripada 15 peratus kepada 10 peratus bagi jumlah tenaga kerja menjelang 2030.

Rancangan tersebut menganggarkan sebanyak RM430 bilion (S$130.24 bilion) diperlukan bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan, berbanding RM400 bilion (S$121.16 bilion) yang diperuntukkan dalam edisi ke-12.

Daripada jumlah RM430 bilion (S$130.24 bilion) itu, 52.8 peratus akan disalurkan kepada sektor ekonomi, 30.9 peratus kepada sektor sosial, 11.8 peratus kepada sektor keselamatan, dan empat peratus bagi sektor pentadbiran.

Encik Anwar berkata aspirasi Malaysia untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi menuntut peralihan yang lebih pantas ke arah ekonomi yang berasaskan penciptaan nilai. Beliau turut mengatakan bahawa negara itu juga perlu memupuk budaya inovasi.

“Malaysia perlu segera beralih daripada sekadar menjadi pengguna kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Buatan Malaysia’ yang bertaraf dunia,” kata Encik Anwar.

Kerajaan persekutuan turut menyasarkan agar defisit fiskal menurun kepada bawah tiga peratus daripada GDP menjelang 2030, manakala paras hutang kerajaan tidak melebihi 60 peratus daripada GDP.

Pada 2024, defisit fiskal dicatatkan pada kadar 4.1 peratus manakala nisbah hutang kepada GDP Malaysia ialah 64.6 peratus.

RANCANGAN AKAN DIBAHAS DI PARLIMEN

RMK13 akan dibahaskan di Parlimen mulai Isnin depan selama lapan hari, diikuti dengan empat hari sesi jawapan oleh para menteri, mulai 18 Ogos.

Satu tinjaun separuh penggal akan dijalankan bagi setiap Rancangan Malaysia dan dibahaskan di Parlimen.

Tinjauan separuh penggal bagi RMK12, sebagai contoh, dibentangkan oleh Encik Anwar pada September 2023. Pelan itu pertama kali dibentangkan pada Oktober 2021 oleh kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

Semasa tinjauan tersebut, Encik Anwar berkata bahawa kerajaan akan meneliti pelaksanaan subsidi bersasar serta cara untuk memperluaskan asas cukai negara.

Encik Anwar turut berkata pada Julai bahawa kerajaan akan mengumumkan butiran mengenai rancangan jangka panjang yang dinanti-nantikan untuk memansuhkan subsidi menyeluruh bagi bahan api RON95 sebelum akhir September.

Perubahan subsidi itu akan menyaksikan harga pam RON95 bagi rakyat Malaysia turun kepada RM1.99 (S$0.60) seliter, berbanding harga semasa RM2.05 (S$0.62), kata Encik Anwar.

Pada Julai juga, kerajaan memperkenalkan cukai jualan sebanyak lima atau 10 peratus ke atas barangan tidak penting dan mewah seperti ketam raja, ikan salmon, buah-buahan import, basikal lumba dan karya seni antik.

Kadar cukai jualan tidak berubah bagi barangan keperluan.

Cukai perkhidmatan sebanyak enam atau lapan peratus turut diperluas untuk merangkumi sewaan atau pajakan hartanah, pembinaan, perkhidmatan kewangan dan jagaan kesihatan swasta.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita