Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia belum putuskan untuk ubah dasar berkaitan eksport ayam

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Aug 2022 01:11PM Dikemas Kini : 04 Aug 2022 09:06PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia pada Khamis (4 Ogos) menjelaskan bahawa larangan eksport ayam masih berkuat kuasa buat masa ini. Kenyataan itu dibuat selepas menteri Ronald Kiandee pada awal hari berkata larangan eksport ayam dijadualkan berakhir pada 31 Ogos.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian pada Khamis, Dr Kiandee berkata semasa soalan menteri di parlimen bahawa larangan eksport adalah campur tangan sementara sehingga harga dan bekalan ayam stabil sepenuhnya.

“Apa yang dijadualkan berakhir pada 31 Ogos 2022 ialah pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak, yang sedang dijalankan sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia dari 5 Feb hingga 31 Ogos 2022,” katanya.

Kementerian itu menambah, kerajaan akan terus memantau dan menganjurkan sesi pelibatan dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian bekalan ayam, termasuk di peringkat ladang ternakan. Ini bagi memastikan bekalan dan kesinambungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap optimum dan stabil, katanya. “Buat masa ini, sekatan eksport ayam daging hidup (daging komersil) masih berkuat kuasa.

“Sebarang keputusan untuk membenarkan eksport semula ayam daging hidup (daging komersil) akan diputuskan oleh kerajaan berdasarkan kajian stok dan pengeluaran di peringkat ladang,” katanya.

Awal hari ini Dr Kiandee berkata:"Campur tangan itu adalah sementara dan ijadualkan tamat pada 31 Ogos buat masa ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan susulan Anggota Parlimen (AP) Kluang Wong Shu Qi semasa sesi soalan menteri.

Menyifatkan keputusan untuk melarang eksport itu sebagai satu langkah yang salah, Cik Wong berkata larangan tersebut menyebabkan Singapura mempelbagaikan sumber makanannya dan membeli ayam dari negara-negara jiran lain.

"Kami kehilangan satu pasaran. Jadi tidak kira sama ada kami membuka semula atau membenarkan kembali eksport, kami sudah kehilangan satu pelanggan," kata Cik Wong.

Dalam responsnya, Dr Kiandee menekankan larangan itu bersifat sementara dan langkah-langkah perlindungan serupa seumpama itu juga diambil negara-negara lain, yang berdepan dengan kekurangan bekalan makanan.

"Apabila keadaan menjadi stabil di merata negara - bukan sahaja lebihan bekalan di beberapa lokasi tetapi di seluruh negara - tentu sekali kerajaan akan memutuskan untuk membenarkan eksport," jelasnya.

Pada 1 Ogos lalu, menteri tersebut memaklumkan para AP bahawa Malaysia kini mempunyai lebihan bekalan dan boleh mengeksport ayam ke negara-negara lain.

"Buat masa ini, kami mampu menghasilkan 106 peratus daripada keperluan kami bagi ayam. Ini bermakna kami mempunyai kemampuan untuk mengeksport ayam dari negara kami," kata beliau ketika itu.

Kerajaan Malaysia sebelum ini melarang eksport sehingga 3.6 juta ayam sejak 1 Jun dalam usahanya menangani isu bekalan dan harga bagi ayam di negara itu.

Larangan itu dikuatkuasakan berikutan aduan kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam, dengan sebilangan pedagang menjual ayam mereka melebihi harga siling bagi membiayai kos.

Dalam menangani masalah harga ayam yang meningkat, kerajaan menetapkan harga siling baru RM9.40 (S$2.90) bagi setiap kilogram ayam standard bermula 1 Julai.

Para pemain industri ayam di Malaysia menggesa kerajaan supaya menarik balik larangan eksport ayam atau mereka akan mengalami kerugian dek kehilangan pasaran Singapura.

Sebagai respons kepada larangan eksport itu, Singapura mengumumkan ia akan membeli ayam dari negara-negara lain termasuk Indonesia dan Thailand.

Bermula 14 Jun lalu, Malaysia menarik balik separa larangan itu dan membenarkan pengimport ayam di Singapura untuk menyambung semula kegiatan membawa masuk ayam kampung serta ayam hitam hidup.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan