Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia, Australia dan Thailand antara destinasi pilihan warga SG untuk beli hartanah

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia, Australia dan Thailand antara destinasi pilihan warga SG untuk beli hartanah

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 28 Dec 2023 06:31PM Dikemas Kini : 28 Dec 2023 06:36PM
PETALING JAYA: Malaysia merupakan destinasi pilihan ketiga warga Singapura untuk membeli hartanah di belakang Australia dan Thailand, menurut firma hartanah, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Kashif Ansari berkata, ia berdasarkan data pertanyaan pembeli dari Singapura untuk membeli hartanah di luar negara pada platform Juwai IQI bagi tempoh Januari 2020 hingga November 2023.

Jelasnya, Australia merupakan pilihan utama dengan kadar peratusan tertinggi sebanyak 27.5 peratus, diikuti Thailand (16.5 peratus), Malaysia (13.2 peratus), Jepun (12.6 peratus) dan United Kingdom (6.6 peratus).

“Australia merupakan destinasi utama untuk hartawan, yang mana kira-kira 5,200 hartawan berpindah ke Australia tahun ini berbanding 4,500 yang berpindah ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan 2,100 ke Amerika Syarikat, menurut data Henley & Partners.

“Oleh kerana pembeli Singapura cenderung mempunyai wang tunai yang mencukupi, mereka mempunyai kelebihan dalam pasaran seperti Australia, yang mana kadar gadai janji adalah tinggi.

“Sementara Thailand juga menarik kerana harganya amat rendah berbanding rumah di Singapura.

“Selain kondominium di Bangkok, hartanah percutian seperti resort di Phuket dan Pattaya juga popular dalam kalangan rakyat Singapura kerana gaya hidup yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan, dipetik Kosmo! Online.

Encik Kashif menambah, Malaysia pula adalah pilihan yang logik disebabkan lokasi dan hubungan ekonominya dengan Singapura.

“Projek RTS yang bakal mengalihkan 10,000 individu sejam antara kedua-dua negara kini lebih separuh siap dan bakal menambah bilangan rakyat Singapura yang menjalani gaya hidup rentas sempadan, dengan rumah pertama atau kedua di Johor Bahru dan bekerja di Singapura.

“IQI, rangkaian agensi yang menjadi ahli kami melihat peningkatan 17 peratus dalam transaksi pembeli Singapura di Johor Bahru pada suku pertama 2023, berbanding tempoh sama tahun lepas,” ujarnya, lapor Kosmo! Online.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan