Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia akan terus sekat kemasukan pengganas, tegas Muhyiddin Yassin

Sistem Imigresen Malaysia yang baharu akan mengandungi mekanisme untuk menyekat pengganas asing daripada menyeberangi sempadannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia akan terus sekat kemasukan pengganas, tegas Muhyiddin Yassin

Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Sep 2019 09:08PM Dikemas Kini : 17 Sep 2019 09:13PM

WASHINGTON: Sistem Imigresen Malaysia yang baharu akan mengandungi mekanisme untuk menyekat pengganas asing daripada menyeberangi sempadannya.

Bercakap kepada pemberita di ibu negara Amerika Syarikat, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menegaskan, komitmen Kuala Lumpur dalam memperkasakan keselamatan di sempadannya akan tergambar menerusi pelaksanaan pengumpulan Maklumat Awal Penumpang dan Rekod Nama Penumpang.

"Kedua-dua perisian sedang dimasukkan ke dalam sistem imigresen yang baharu yang kini sedang dibangunkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia," kata beliau.

Encik Muhyiddin berkongsi perkembangan itu ketika berucap di Forum Kepimpinan Banyan Tree mengenai hubungan Strategik Malaysia-Amerika Syarikat di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa pada Isnin.

Beliau tiba pada Ahad untuk lawatan kerja ke Amerika Syarikat yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan keselamatan antara kedua-dua negara.

Dalam lawatannya sehingga 21 September ini, Encik Muhyiddin juga akan ke New York.

Encik Muhyiddin juga akan mengambil kesempatan daripada lawatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat atas sokongan yang diberikannya kepada agensi-agensi penguatkuasaan Malaysia, termasuk dari segi pelbagai program latihan dan kursus jangka pendek yang diberikan kepada para penguat kuasa undang-undang.

"Amerika juga boleh memanfaatkan sumber-sumber yang terdapat di Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan yang berpejabat di Kuala Lumpur untuk melaksanakan matlamat bersama kami iaitu untuk menangani keganasan dan memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini," kata beliau.

Beliau turut mengungkapkan rasa terima kasih kepada pihak berkuasa Amerika, terutamanya Jabatan Kehakiman Amerika, atas kerjasama mereka terutama sekali dalam usaha untuk mendapatkan semula berbilion dolar dana syarikat pelaburan milik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Encik Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau adalah antara orang yang paling kuat menentang perlakuan rasuah peringkat tinggi membabitkan 1MDB semasa beliau masih bersama kerajaan terdahulu.

Menteri itu bersyukur kerana perjuangan peribadi dan komitmen beliau mengenai tadbir urus dan kedaulatan undang-undang berbaloi apabila kebenaran mengenai skandal 1MDB didedahkan.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih khas kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat yang sudah membantu mendapatkan semula AS$322 juta (S$443 juta) nilai harta 1MDB sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula pada Mei 2018.

"Proses untuk mendapatkan semula aset ini masih berjalan dan kami menjangkakan berjuta-juta dolar lagi akan dikembalikan kepada Malaysia pada masa depan," kata Encik Muhyiddin.

Beliau selanjutnya berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat bukan sahaja dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan kestabilan sejagat bahkan juga dalam mewujudkan kemakmuran ekonomi yang akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

"Dalam usaha kami hendak memastikan Malaysia terus mencapai kemajuan dalam usahanya hendak menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kami mengalu-alukan pelaburan baharu dari Amerika terutama dalam kegiatan-kegiatan utama ekonomi yang telah dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan baharu," kata beliau.

Encik Muhyiddin berkata, ini termasuk teknologi kewangan, ekonomi digital, e-dagang, ekonomi mesra alam dan tenaga yang boleh diperbaharui. 

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan