Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia akan tambah sistem pagar automatik baharu di KLIA dan Pulau Pinang

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia melalui Jabatan Imigresen (JIM) akan menambah bilangan sistem pagar automatik baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1 dan 2) dan Pulau Pinang bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk ke Malaysia. 

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 40 pagar automatik baharu ditambah di KLIA Terminal 1 dan 2 menjadikan jumlah keseluruhan iaitu 80 buah manakala penambahan di Pulau Pinang sedang dikenal pasti.

Beliau berkata langkah penambahan kemudahan itu juga adalah selaras peluasan kemudahan pagar automatik baharu dan sebagai persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sekarang ketibaan pesawat antarabangsa dapat liputan media bila kesesakan berlaku. Jadi kami telah berunding dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk penambahan pagar automatik baharu dan kami perlu lebih banyak ruang.

“Ketua Setiausaha KDN Ruji Ubi akan uruskan perolehan… kami juga kejar masa kerana tahun depan kita akan ambil alih Pengerusi ASEAN, yang perlu kami uruskan tidak berlaku kesesakan di pintu masuk,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, Encik Saifuddin mengumumkan pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan pagar automatik baharu di semua pintu masuk Malaysia yang memiliki kemudahan itu berkuat kuasa 1 Jun 2024.

Kemudahan itu antaranya membabitkan semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong serta Taiwan.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan sistem kaedah Kod Respons Pantas (QR) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor mendapat sambutan daripada para pengguna. 

Bagi tempoh 1 Jun hingga 18 Julai lepas, sebanyak 197,901 penumpang bas di BSI dan 311,130 penumpang bas dan motosikal di KSAB telah menggunakan sistem QR itu.

“Inisiatif berkenaan berjaya mengurangkan tempoh menunggu antara 70 hingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat dan seterusnya dapat membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura,” katanya.

Encik Saifuddin berkata penggunaan sistem itu akan diperluas kepada semua pengembara termasuk bukan warga negara dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan menggunakan kereta di fasa seterusnya.
 
Sumber : Bernama/AA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan