Malaysia akan sambung semula usaha cari pesawat MH370
Malaysia secara prinsip bersetuju untuk menyambung semula usaha mencari pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370, menurut menteri pengangkutan negara itu pada Jumaat (20 Dis).
(Gambar fail: AFP)
Kini sudah lebih 10 tahun sejak pesawat itu dilaporkan hilang dalam salah satu misteri terbesar yang masih membelenggu dunia penerbangan.
Penerbangan MH370 tersebut sedang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam pesawat Boeing 777 apabila ia dilaporkan hilang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Beijing pada 8 Mac 2014.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata cadangan untuk melakukan pencarian di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi itu diusulkan oleh firma penerokaan Ocean Infinity, yang turut terlibat dalam usaha terakhir mencari pesawat berkenaan pada 2018.
Syarikat itu akan menerima bayaran AS$70 juta (S$95 juta) jika ia berhasil menemui serpihan yang substantif, kata Encik Loke di sidang media.
"Tanggungjawab dan komitmen kita adalah terhadap waris mangsa," katanya.
"Kami berharap kali ini hasilnya positif, serpihan pesawat dapat ditemui dan dapat membantu keluarga mangsa."
Menurut laporan The Star, Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang membincangkan syarat-syaratnya dengan firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang dijangka dimuktamadkan menjelang awal tahun depan.
Pasukan penyiasat Malaysia pada awalnya tidak menolak kemungkinan pesawat itu dengan sengaja terbang keluar dari landasan.
Beberapa serpihan, ada yang disahkan dan ada yang dipercayai berasal daripada pesawat itu, ditemui di kawasan perairan Afrika dan di beberapa pulau di Lautan Hindi.
Lebih 150 penumpang warga China menaiki penerbangan itu dan anggota keluarga mereka telah menuntut pampasan dari Malaysia Airlines, Boeing, pembuat enjin pesawat Rolls-Royce dan kumpulan Allianz Insurance antara lain.
Malaysia telah mendapatkan khidmat Ocean Infinity pada 2018 untuk menjalankan usaha mencari pesawat tersebut di selatan Lautan Hindi, dan ia menawarkan bayaran sehingga AS$70 juta jika ia berjaya menemui pesawat itu.
Namun, syarikat itu menemui kegagalan dalam dua percubaan.
Ini disusuli dengan usaha pencarian dalam air yang dilaksanakan oleh Malaysia, Australia dan China di satu kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, berdasarkan data daripada hubungan automatik antara sebuah satelit Inmarsat dan pesawat berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.