Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Malaysia akan muktamadkan penggunaan kod QR di CIQ Johor selepas 3 bulan percubaan fasa pertama

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia akan muktamadkan penggunaan kod QR di CIQ Johor selepas 3 bulan percubaan fasa pertama

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 28 May 2024 04:10PM Dikemas Kini : 28 May 2024 04:19PM

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan memuktamadkan penggunaan Kod Respons Pantas (QR) bagi pelepasan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor selepas tempoh tiga bulan percubaan fasa pertama selesai dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Fadillah Yusof berkata fasa pertama Sistem Kod QR itu yang melibatkan warganegara Malaysia di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal akan mula dilaksana bermula Sabtu ini.

"Proof of Concept itu berjalan tiga bulan dan kemudian akan dinilaikan keberkesanan, kebaikan semua sistem itu dan (kita) tengok juga apa kelemahan yang boleh diperbaiki.

"Kalau berjalan lancar maka ia boleh digunakan. Barulah KDN (Kementerian Dalam Negeri) Malaysia memuktamadkan syarikat mana yang berjaya, konsep mana yang digunakan," katanya kepada media selepas merasmikan National Conference on Stormwater Management (SWaM) di sini hari ini.

Encik Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor berkata semasa pelaksanaan fasa pertama itu, terdapat tiga sistem cadangan yang akan diuji keberkesanannya.

"Ada tiga sistem cadangan daripada beberapa syarikat yang dikemukakan kepada KDN dan kita akan uji sistem ini, (pengembara) hanya perlu muat turun aplikasi, daftar, sama ada gunakan (aplikasi) Digital ID atau MySejahtera, ambil gambar pasport, gambar individu dan disahkan.


"Jadi apabila dia melalui (imigresen), memadai dia tunjukkan telefon pintar dia sahaja, tak perlu keluarkan pasport.


"Imbas kod QR itu, automatik akan masuk ke sistem imigresen dan konsep yang dibangunkan ini dijangka menjimatkan secara purata 50 peratus waktu perjalanan," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.1 2024, yang diadakan semalam akan dibentangkan ke kabinet kerajaan Malaysia secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Encik Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Malaysia berkata kerajaan akan menambah baik Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) sebagai satu langkah penting untuk meningkatkan kecekapan dalam pengurusan saliran hujan bagi mengurangkan masalah banjir.


"Ia (MSMA) ialah satu dokumen yang orang kata hidup, sentiasa diperbaharui mengikut keadaan masa.

"Satu yang kita kena lihat bagaimana hendak memperkenalkan teknologi yang bersesuaian, supaya kita dapat pantau ramalan berhubung kait dengan kemungkinan berlakunya bencana, mengenai sistem itu mungkin ia dapat membuat ramalan lebih awal lagi," katanya.

MSMA adalah prasyarat untuk kelulusan pelan pembangunan yang melibatkan infrastruktur saliran menjadi fokus utama dalam menangani masalah banjir jangka panjang dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam pembendungan banjir.

Kaedah dan panduan dalam MSMA memberikan landasan kukuh bagi reka bentuk sistem saliran yang mampu menampung intensiti hujan yang tinggi terutamanya di kawasan bandar yang padat.

Selain itu, MSMA juga menekankan keperluan untuk pengurusan sumber dan rawatan air secara berkesan dengan memanfaatkan kaedah seperti kawalan sumber, pengurangan aliran dan pembinaan sistem biologi seperti tasik serta paya bakau dan secara tidak langsung bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir tetapi juga memberi peluang memperbaiki kualiti air serta alam sekitar.

Sumber : Bernama/AA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan