Malaysia akan ‘laraskan’ kawalan sempadan darat; sejajar dengan pemeriksaan lebih ketat SG
Para pelawat yang memasuki Johor dari Singapura melalui pusat pemeriksaan darat mungkin berdepan kelengahan tidak lama lagi, sedang Malaysia berusaha untuk melaraskan kawalan sempadannya sejajar dengan pemeriksaan keselamatan Singapura yang lebih ketat.
Tambak Johor-Singapura. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)
Sejak 28 Februari, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah mempertingkatkan dan mengetatkan lagi pemeriksaan keselamatan ke atas para pelawat, kargo dan kenderaan yang tiba di semua pintu masuk, dengan situasi keselamatan global semakin tegang, termasuk perang Iran.
Pada Rabu (1 Apr), Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata Malaysia akan melaksanakan pelarasan yang serupa bagi keselamatan sempadannya.
“Kami menghormati keputusan Singapura dan kami perlu membuat pelarasan di pihak kami,” kata beliau, dipetik oleh New Straits Times.
Namun, tidak jelas sama ada pelarasan tersebut akan melibatkan semua pusat pemeriksaan di Malaysia atau hanya pusat-pusat pemeriksaan darat dengan Singapura.
Encik Shuhaily turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari supaya merancang perjalanan mereka dengan lebih teliti bagi mengelakkan kesesakan pada waktu sibuk.
Perkembangan itu diumumkan di tengah-tengah laporan berlaku kesesakan yang semakin teruk, dengan para pengguna yang melintasi sempadan membanjiri media sosial dengan rakaman kamera papan pemuka dan gambar-gambar trafik yang sesak di Koswe.
Sementara itu, pihak berkuasa di kedua-dua negara menggesa perancangan yang lebih baik dan menggalakkan para pelawat supaya bersabar selepas langkah-langkah keselamatan diperketatkan.
Secara berasingan, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bertemu dengan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada 1 April selepas menerima undangan untuk mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk meninjau-ninjau operasi di sana.
Beliau menambah bahawa mereka turut membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama strategik Johor-Singapura, selaras dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi serantau.
“Semoga pertemuan ini terus memperkukuhkan hubungan Johor-Singapura demi manfaat kedua-dua negara,” kata Encik Onn Hafiz.
Tambak Johor-Singapura merupakan antara pusat pemeriksaan darat yang paling sibuk di dunia, dengan sekitar 300,000 orang melintasi sempadan tersebut setiap hari. ICA sebelum ini menyatakan jumlah itu dijangka meningkat kepada sekitar 400,000 menjelang 2050.
Antara langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan kesesakan termasuk memperluaskan Pusat Pemeriksaan Woodlands serta projek RTS Link. RTS Link dijangka mula beroperasi menjelang hujung tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.