Malaysia akan kaji serangan Balai Polis Ulu Tiram; bentuk profil tangani ekstremisme
Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Bernama bahawa fahaman ekstremisme perlu dibendung dan perbuatan 'mengkafirkan' golongan lain sangat membahayakan bagi masyarakat dan negara.
"Insiden ini (serangan Balai Polis Ulu Tiram) sudah tentu jika ditanya sama ada polis mempunyai keupayaan untuk mengurus...tentunya. Polis 216 tahun umurnya, mempunyai pengalaman yang luas.
"Jadi berdasarkan kepada insiden seperti ini, maka polis kita bangunkan profil lengkap bagaimana kita nak mengurangkan elemen-elemen seperti ini supaya ia tidak berkembang subur," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini (9 Jul).
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang mahu tahu usaha kerajaan menangkis ancaman bentuk baharu pengganasan yang wujud dalam kalangan kumpulan pengganas di Malaysia.
Selain itu, Encik Saifuddin Nasution berkata antara langkah-langkah keselamatan yang diambil ekoran insiden di Balai Polis Ulu Tiram, termasuk mengarahkan supaya pintu pagar balai polis ditutup selepas 10.00 malam.
"Kita perlu imbangi (langkah-langkah keselamatan) kerana balai polis adalah tempat rakyat mengadu tetapi pada masa yang sama, balai polis juga menjadi sasaran, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu.
"Insiden di Ulu Tiram, saat itu ada dua orang yang berurusan dengan anggota polis (di dalam balai) dan ketika itu serangan berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Encik Richard Riot (GPS-Serian) yang bertanya tentang langkah-langkah bagi memperketatkan keselamatan di balai polis di Malaysia, ekoran insiden 17 Mei lalu yang menyaksikan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, meninggal dunia selepas diserang seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.