Skip to main content

Dunia

Malaysia akan hubungkan RTS Bukit Chagar dengan KTMB Komuter, bas & teksi: Anthony Loke

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia akan hubungkan RTS Bukit Chagar dengan KTMB Komuter, bas & teksi: Anthony Loke

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata sambungan terus antara Laluan RTS Bukit Chagar dengan perkhidmatan KTMB Komuter dijangka mengambil masa sekitar 12 bulan untuk disiapkan. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 06:02PM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 07:31PM
  • Kerajaan Malaysia melalui Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan sambungan terus antara Laluan RTS Bukit Chagar dan KTMB Komuter dengan kos RM60 juta.
  • Projek ini akan memudahkan penumpang meneruskan perjalanan tanpa perlu melalui laluan sedia ada di JB Sentral, dan dijangka siap dalam 12 bulan.
  • Lebih 200 bas baharu akan ditambah untuk menghubungkan kawasan perumahan sekitar Johor Bahru ke Bukit Chagar seiring pembukaan Laluan RTS.
  • Stesen RTS Bukit Chagar kini dalam fasa ujian dan pentauliahan, dengan operasi dijadual bermula 1 Januari 2027 serta mampu membawa 10,000 penumpang sejam setiap arah.
Dijana oleh AI
JOHOR BAHRU: Kerajaan Malaysia akan menghubungkan terus Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Bukit Chagar dengan perkhidmatan KTMB Komuter yang menelan belanja RM60 juta (S$18.9 juta) bagi memperkukuh integrasi pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penumpang.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata projek tambahan itu sudah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi dan akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.

Menurut Encik Loke, sambungan tersebut akan membolehkan penumpang KTMB Komuter menggunakan jejambat untuk meneruskan perjalanan ke Stesen Laluan RTS Bukit Chagar tanpa perlu melalui laluan sedia ada yang lebih jauh di JB Sentral.

“Apabila siap nanti, penumpang yang menggunakan KTM Komuter dan berhenti di stesen KTMB Komuter boleh terus sambung perjalanan ke Stesen RTS Bukit Chagar.

“Ini akan memudahkan ramai penumpang. Kita mahu menggalakkan supaya pengguna Laluan RTS menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bukit Chagar ataupun keluar daripada Bukit Chagar,” kata Encik Loke selepas lawatan media ke projek Laluan RTS di Bukit Chagar pada Selasa (18 Ogos).

Laluan sambungan itu dijangka mengambil masa sekitar 12 bulan untuk disiapkan dan akan memendekkan jarak berjalan kaki antara stesen KTMB Komuter dengan Laluan RTS.

LEBIH 200 BAS BAHARU

Encik Loke berkata kerajaan Malaysia juga sedang merangka pelaksanaan Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) 2.0, termasuk menambah sekurang-kurangnya 200 bas baharu.

Bas-bas tersebut akan menyediakan khidmat dari kawasan perumahan sekitar Johor Bahru ke Bukit Chagar apabila Laluan RTS mula beroperasi.

Menurut Encik Loke, perjanjian dengan pengendali sedang diperincikan, manakala penganugerahan akhir perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Penambahan bas itu dirancang dilaksanakan seiring dengan pembukaan Laluan RTS bagi memastikan pergerakan penumpang dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

Selain KTMB Komuter dan perkhidmatan bas, Stesen Laluan RTS Bukit Chagar akan dihubungkan dengan JB Sentral, khidmat e-panggilan serta bentuk pengangkutan awam lain bagi menjadikannya hab pengangkutan awam pelbagai mod.

FASA UJIAN DAN PENTAULIAHAN

Encik Loke berkata pembinaan fizikal bangunan, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta Stesen Laluan RTS sudah selesai.

Projek itu kini berada dalam fasa ujian dan pentauliahan, termasuk ujian pengintegrasian sistem sebelum ujian perjalanan tanpa kerosakan dan ujian percubaan dijalankan.

Ia bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik sebelum Laluan RTS dibuka kepada orang ramai.

Laluan RTS dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027 dan dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah.

Ia menghubungkan Stesen Laluan RTS Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita